Pemergian Sahabatku Profesor Emiratus Sham

Inna lillahi wainna ilaihiraaji’un. Allahumagh firlahu warhamhu wa’afihi wa’fuanhu…

Profesor Emiratus Dr Shamsudin Mat Amin telah pergi menemui Penciptanya pada malam Khamis, 7 Oktober 2020, jam 8.41pm.

Prof sangat dekat di hatiku. Semasa solat jenazah di Surau An-Nur, Taman Desa Skudai kelmarin, apabila anak cucunya mengucup dahi almarhum, berderai-derai air mata menghujani pipiku. Terasa sungguh pilu sekali.

Aku hanya sempat membantu menghantar Allahyarham sekali ke PKU (Pusat Kesihatan UTM) untuk membuat dressing di kakinya pada awal tahun ini. Pada masa itu, hanya sebelah kakinya yang dipotong!

Sebaliknya pula, aku selalu meminta Almarhum untuk membuat pengisian didalam program Mukhayyam. Beliau tidak pernah menolak walaupun slot tadzkirahnya seawal jam 3 pagi.

Teringat semasa aku membuat mukhayyam di dalam UTM. Prof. Sham dan Dr. Ali agak kepenatan setelah jauh berjalan. Akhirnya, Prof Sham membaringkan dirinya di atas rumput di sebelah jalan bertar untuk naik ke Balai Cerap.

Pernah aku bertanya kepada beliau, “Anta tak nak buat pertukaran buah pinggang ke akhi? Duit antapun ada.”

“Anapun dah tua, kalau buatpun belum tentu berjaya. Ana lebih rela untuk belanja anak-anak sambung belajar dan buat dakwah. Kereta anak ana buat dakwah, ana yang isi minyak akhi,” balasnya.

Engkau pergi dikala usia tidak begitu tua, hanya 64 tahun. Apapun, ‘you have done your share‘ untuk mengajak manusia ke arah kebaikan dan menentang kemungkaran. Sekarang berehatlah… pengorbananmu akan diteruskan pula oleh orang lain.

Daripada Allah kita datang dan kepadaNya jua kita akan pergi.