Solat Jumaat Pertama Setelah Lebih 3 Bulan

Sudah begitu lama aku tidak mengunjungimu. Bukan aku lupa. Bukan aku tak sudi. Jua bukannya aku menyendiri.

Tetapi aku dilarang dari mendatangimu. Aku dinafikan hak untuk ke sini. Aku tidak berupaya melawan walaupun aku menyintaimu. Aku pasrah jua akhirnya.

Alhamdulillah hari ini iaitu Jumaat, 26 Jun 2020, aku kembali ke sini. Sebelumnya, aku tertunggu-tunggu giliranku. Hari ini yang sepatutnya Jumaat yang ketiga, aku mewakili Perjiranan 11 seramai 5 orang. Tetapi telah dibuka semula dari hanya 40 orang kepada 1000 orang bermula subuh tadi di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato Onn ini.

Jumaat pertama aku dahulukan 5 orang AJK Surau, kemudian Jumaat kedua aku dahulukan 5 orang AJK Surau yang lain pula. Pengerusi Surau ambil slot yang kemudian tak mengapa. Kita beri orang lain dahulu mengecapi keseronokan untuk ke Masjid.

Ya Allah, Engkau angkatlah segala penyakit yang bermaharajalela di muka bumi ini. Berikanlah kami peluang untuk berbakti kepadaMu. Sesungguhnya kami adalah hambaMu yang hina. Yang selalu perlukan bimbingan dan petunjukMu ya Allah.

Kembalikan suasana yang mana kami bebas untuk ke masjid dan surau. Kami bukan hanya bercakap tetapi kami memang pengunjung setia ke rumahMu ya Allah! Kabulkan permintaan kami, ya Rabbal’ Alamin.