Ceramah Maulid

Rasulullah Membina Ummah“, tajuk Ceramah Maulid ArRasul di Dewan Serbaguna Perjiranan 11, Bandar Dato Onn pada 5 November 2020. Ceramah disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Mohd Rifqi Myiddin.

5 cara penyampaian Rasulullah dalam berdakwah yang sempat dihuraikan oleh Ustaz adalah seperti berikut;

Pertama, kasih sayang. Rasulullah teramat penyayang orangnya. Kasih dan sayang didahului dari menghukum atau memberi hukum kepada mad’unya.

Kedua, tauhid kepada Allah. Rasulullah SAW memperbetulkan aqidah supaya masyarakat tidak menyengutui Allah. Jauhi syirik kepada Allah.

Ketiga, melaksanakan syariat Allah. Kebijaksanaan Rasulullah dalam menangani si Badwi yang kencing dalam masjid berbanding sesetengah sahabat yang ingin membelasah si Badwi tersebut. Kesayangan Rasulullah SAW yang tidak terburu-buru menghukum si penzina, disuruhnya pulang dahulu sehingga bersalin, kemudian apabila si penzina datang kembali setelah bersalin disuruhnya dahulu menyusui bayinya. Akhirnya baharulah hukuman dilaksanakan.

Keempat, memudahkan dan tidak menyusahkan. Kebanyakan hukum disesuaikan dengan keadaan dan uruf masyarakat setempat. Sebagai contoh, kita disunatkan untuk membayar zakat fitrah pada pagi raya sebelum solat sunat raya dengan makanan ruji penduduk setempat tersebut. Ini adalah benar pada zaman dulu yang mana Rasulullah ingin masyarakat miskin mempunyai makanan untuk berhari raya. Dalam keadaan sekarang mungkin elok zakat dibayar dengan wang di awal Ramadan supaya orang miskin boleh membeli pakaian raya dan beraya bersama kita dan sebagainya?

Kelima, Rasulullah SAW berdakwah dengan ilmu dan secara saintifik. Rasulullah bersifat Fatonah, yakni bijak dan cerdik. Kita seharusnya menjauhi dari berdakwah secara mistik dan tidak logik. Islam adalah lengkap. Ia melangkaui zaman dan budaya. Islam memenuhi citarasa semua manusia sejak dulu, kini dan selamanya.