Selamat Jalan Sahabatku…

Petang ini telah pulang ke pangkuan Allah SWT seorang lagi sahabatku Tn. Hj. Zainal Othman.

Aku mengenali arwah sejak berpindah ke BDO 7 tahun yang lalu. Allahyarham begitu aktif di Masjid Sultan Iskandar (MSI), Bandar Dato Onn. Banyak aktiviti-aktiviti MSI beliau menjadi sukarelawan. Cuma beberapa bulan kebelakangan ini, beliau tidak dapat lagi ke MSI kerana masalah kesihatan.

Arwah adalah seorang yang cukup ceria. Kami secara tidak rasmi melantiknya sebagai Pengerusi GST (Geng Sandar Tiang). Setiap hari Jumaat dan Sabtu selepas kuliah Subuh, kami sama-sama berkumpul di dataran Masjid Sultan Iskandar sambil menikmati apa jua juadah yang ada. Kebiasaannya setiap jenis kueh yang ada, kami akan ambil setiap satu.

Rakan-rakan GST aku sudah 3 orang pergi mendahului. Mereka adalah Haji Kamal, Haji Tahir dan yang terakhir ialah Haji Zainal. Semuanya dalam tahun 2020!

Di awal pertemuan kami, Hj. Zainal mengajak aku sekeluarga untuk makan nasi chalit (antara jenis nasi arab) di rumah beliau di Taman Daya. Seingat aku, arwah Hj. Kamal, En. Alwi dan beberapa orang lagi turut hadir pada malam itu bersama isteri masing-masing. Aku datang bersama isteri dan anak-anak.

Arwah Hj. Zainal acapkali juga membeli madu kelulut dariku. Pada awalnya, aku menghadiahkan beliau sebotol madu kelulut. Kali terakhir beliau membeli madu dariku ialah bulan lepas. Hj. Zainal membeli 2 botol terus dan katanya kali ini lambat sikitlah saya akan beli lagi…

Arwah Hj. Zainal meninggal dunia di Sendayan, Seremban di kediaman anaknya. Inna lillahi wainna ilaihiraaji’un. Allahummagh firlahu warhamhu wa’afihi wa’fuanhu…

Semoga dikau aman di sana bersama-sama para solehin dan mujahidin. Aamiin aamiin aamiin ya Rabbal ‘Alamin!

Arwah yang berada di tengah-tengah.

Speak Your Mind

*