[21/02, 21:24] Dr Wan Ibrisam Fikry Wan: Kenapa RM150?
[21/02, 21:24] Dr Wan Ibrisam Fikry Wan: 2 botol RM100 aje.
[21/02, 21:24] Wani Proton Larkin: Selebihnya utk disedekahkan pada anak2 tahfiz dr.
[21/02, 21:25] Dr Wan Ibrisam Fikry Wan: Ok. Tqvm.
[21/02, 21:26] Wani Proton Larkin: Niatkan atas nama adik ipar saya yang bakal menduduki spm esok.
Nur Aqilah Izzati Binti Mat Yusof. Mohon doakan ya dr.
[21/02, 21:27] Dr Wan Ibrisam Fikry Wan: Ok InsyaAllah diberikan ketenangan utk menjawab peperiksaan & dipermudahkan segalanya. Aamiin3 ya Rabbal’Alamin.
Itulah perbualan saya dengan salah seorang pelanggan madu kelulut keluaran PIBG Sekolah Menengah Islam Hidayah (SMIH). Kita hanya berusaha sahaja tetapi Allah yang menentukan segalanya.
Dalam PIBG SMIH saya, ada beberapa individu yang saya rasa cukup kagum dengan mereka.
Mereka membuat apa saja demi mengumpul dana untuk PIBG. Mereka menjual kasut, stokin, menjual kuih raya, menjual key chains, membuat tuisyen dan sebagainya.
Kami gigih mengumpul dana untuk PIBG sebab itu kita boleh membantu pihak sekolah dan ibubapa.
Disamping sumbangan-sumbangan biasa yang kita berikan seperti sumbangan kepada program pertandingan debat, pertandingan memanah, acara sukan tahunan, sumbangan kepada guru-guru sempena Hari Guru, dan lain-lain, PIBG SMIH juga telah berjaya membeli sebuah van kepada sekolah.
Yang terbaru sempena pendemik Covid-19, kita juga menawarkan bantuan sebanyak RM50 bagi setiap keluarga yang mempunyai anak di SMIH.
Hari ini pelajar-pelajar sekolah termasuk anak-anak Hidayah akan mengambil peperiksaan SPM mereka yang telah ‘long overdue.’ Mereka sepatutnya mengambil pada hujung tahun lepas dan sekarang menunggu keputusannya. Apakan daya, ini semua suratan takdir yang terpaksa kita hadapi.
Marilah kita sama-sama doakan kepada semua anak-anak Hidayah dan bukan Hidayah termasuk anak saudara Wani supaya mereka dapat menjawab peperiksaan dengan tenang dan lulus dengan cemerlang.
Di musim covid-19 yang mana proses Pengajaran dan Pembelajarannya yang tidak begitu teratur, saya pasti proses penggredan juga akan menjadi lebih luwes. Apa-apapun buatlah yang terbaik wahai anak-anak dan seterusnya terserah (tawakkal) kepada Allah SWT.
Semoga anda semua berjaya, InsyaAllah!
