9/10 Ahli Keluarga Positif Covid-19

Saya ingin membuat ‘sharing’ supaya sesiapa yang ada ahli keluarga yang positif covid-19 boleh mendapat sedikit pengajaran InsyaAllah. Itupun kalau ada yang dapat dipelajari, kalau tak ada, buang aje ia ke laut.

Seorang anak saya yang bekerja di sebuah gedung pakaian merasa kurang sihat. Dan ada seorang lagi adiknya juga merasa kurang sihat. So, kita letakkan mereka di satu bilik, kira kami kuarantin mereka. Alhamdulillah bilik ada tandas sendiri. Ini berlaku pada 22 Mei. Segala makan minum, si ibu hantar ke depan bilik.

Pada 27 Mei, kita hantar si abang untuk di’swab’ di sebuah klinik di BDO. Keesokannya dapat keputusan positif.

Apa lagi, kami 9 orang keesokannya pukul 7 pagi pergi ke CAC Pasir Gudang untuk menjalani swab. 4 orang naik sebuah kereta, 4 orang lagi menaiki sebuah kereta lain manakala saya memandu seorang diri kerana saya yang tidak bergejala. Subhanallah ramainya orang. Kami beratur dalam kereta sehingga pukul 12 tengahari. Kemudian petugas datang ketuk pintu kereta kami menyatakan kuota untuk hari ini sudah penuh dan kami diminta untuk datang keesokannya.

Kami faham dan kami akur dengan arahan yang diberikan.

Pada 30 Mei, anak-anak dan isteri pergi swab di klinik swasta di Adda Heights.

Esoknya, keputusan yang diperoleh ialah 7 orang dari lapan adalah positif. Subhanallah!

Pada 31 Mei saya juga membuat swab di klinik di BDO. Pada 31 Mei ini juga, anak saya dipanggil ke CAC Pasir Gudang untuk dipakaikan gelang. Manakala kami, 9 orang lagi yang dikatakan sebagai close contact disuruh datang untuk memakai gelang pada 1 Jun.

Pada 1 Jun, kami turun dari rumah pukul 6 pagi, belajar dari peristiwa sebelum ini. Apabila kami sampai ke CAC Pasir Gudang, kereta sudah banyak tapi tidak sebanyak dulu. Kami dipakaikan gelang putih kesemuanya. Anak saya yang negatif di’swab’ sekali lagi. Saya yang juga negatif tidak di’swab’ kerana baru semalam saya membuat swab.

Kesemuanya 8 positif dan 2 negatif. Pada petang 1 Jun, 3 orang anak saya telah dijemput untuk ke PKRC Pasir Gudang sebelum pukul 4 petang. Isteri saya pula tengah menunggu untuk ke Hospital Permai. Kepada pesakit yang ada penyakit seperti diabetes, darah tinggi, sakit jantung dan sebagainya akan dibawa ke Hospital Permai. Mungkin peralatan lebih tersedia jika ada apa-apa masalah berlaku.

Pada 3 Jun, tiga orang anak perempuan saya diminta untuk melapur diri di PKRC Pasir Gudang. Pada hari ini juga, anak saya yang di’swab’ kelmarin mendapat keputusan. Ya sepeti yang dijangkakan, “POSITIF”. Sekarang hanya saya seorang yang negatif.

Jam 9 malam, 5 Jun 2021, isteri saya pula dijemput dengan ambulan untuk ke Hospital Permai.

Sekarang tinggal kami bertiga di rumah iaitu anak saya yang pertama didapati positif (mungkin carrier kuman kepada kami semua), anak saya yang pada awalnya negatif tetapi kemudiannya positif dan saya yang insyaAllah masih negatif.

Banyak iktibar kita boleh pelajari dengan peristiwa yang berlaku. Pertama, saya tengok staf yang bertugas di CAC, baik doktor, misi, CI dan sebagainya, mereka sungguh berdedikasi walaupun penat dan lelah tetapi mereka hadapi tugas dengan tekun dan sabar.

Kedua, banyak kerja rumah, kita ‘takes things for granted’ kerana anak-anak sudah besar dan banyak kerja kita ‘sub-kontrak’ kepada mereka dan akhirnya kita tak tahu nak ‘operate’. Saya kena belajar macamana nak basuh kain sendiri kerana kita aje yang negatif (tidak bergejala).

Ketiga, subhanallah, masa inilah nilai persahabatan terserah dan terserlah. Jiran-jiran datang membawa makanan, air, buah-buahan. Doa-doa dalam whatsApp dan Facebook memang banyak la. Ya Rabbi Ya Kareem…

Keempat, bila kita diisolasi oleh anak-anak dalam bilik bersendirian maka terasa di hati, beginilah apabila engkau mati nanti… Ya Allah betapa hiba dan sayunya, apatah lagi di waktu malam.

Kelima, masa inilah engkau hendak tingkatkan amalan solat, baca al-quran dan bersedekah. Sedekah di hujung jari aje untuk transfer duit ke mana-mana. Tepuk dada tanya iman. Kitapun belum tentu ‘survive’ untuk lalui penyakit ini. Astaqfirullahal Azim.

Akhirnya, saya pohon sahabat-sahabat semua untuk selitkan secalit doa buat saya seisi keluarga dalam doa harian kalian. Jazakumullahu khairan kathira.