Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 1112. Dari Salamah bin Akwa’ R.A., katanya: “Pada suatu ketika, kami duduk dekat Nabi SAW. Tiba-tiba datang orang membawa jenazah. Kata mereka, “Sudilah anda solatkan jenazah ini.” Tanya beliau, “Adakah dia mempunyai hutang?” Jawab mereka, “Tidak!” Tanya Nabi SAW, “Adakah dia meninggalkan warisan?” Jawab mereka,”Tidak!” Lalu beliau solatkan jenazah itu. Kemudian datang pula orang membawa jenazah yang lain. Kata mereka, “Ya, Rasulullah SAW! Sudilah anda solatkan jenazah ini.” Tanya Nabi SAW, “Adakah dia mempunyai hutang?” Dijawab oleh mereka, “Ya, ada!” Tanya beliau, “Adakah dia meninggalkan sesuatu warisan”?” Jawab mereka, “Ada, tiga dinar!” Lalu beliau solatkan jenazah itu. Kemudian dibawa orang pula kepada beliau jenazah yang ketiga. Kata mereka, “Sudilah anda solatkan jenazah ini.” Tanya Nabi SAW, “Adakah ia meninggalkan sesuatu (warisan)?” Jawab mereka, “Tidak!” Tanya Nabi SAW., “Adakah dia mempunyai hutang?” Jawab mereka, “Ada, tiga dinar!” Sabda Nabi SAW., “Solatkanlah teman mu itu!” Kata Abu Qatadah, “Solatkanlah, ya Rasulullah! Biarlah saya yang menanggung hutangnya. Maka Rasulullah SAW solat untuk jenazah itu.” |
Di negara kita sekarang, harga yang perlu dibayar bagi memandi, mengafan, solat, pengkebumian dan pengangkutan ke kubur seseorang jenazah ialah sekitar RM1,200. Ia seolah-olah memberi isyarat bahawa kalau kamu tidak ada duit, baik jangan mati! Sedangkan kita semua tahu bahawa urusan pengebumian manusia itu adalah fardu kifayah. Kita yang masih hidup wajib ada sebilangan manusia menyempurnakan mayat tersebut, kalau tidak, kita semua akan berdosa!
Di Surau Perjiranan 11, Bandar Dato Onn dan banyak lagi masjid dan surau lain membuka Skim Takaful Khairat Kematian supaya dengan caruman RM20-RM30 seorang setahun, mereka akan mendapat kemudahan sehingga RM2000 jika berlaku kematian. Dengan wang inilah seseorang jenazah akan disempurnakan.

Walaupun dengan jumlah yang sekecil itu, masih ada yang berkira untuk menyertai skim ini. Manusia adalah sentiasa manusia. Jarang kita mendapat persetujuan semua pihak dalam sesuatu perkara!
Pada pandangan saya, pihak masjid atau surau wajar menampung perbelanjaan untuk menguruskan jenazah. Kita sepatutnya membuat allocation untuk orang menderma bagi tujuan ini, kita nyatakan siap-siap bagi setiap tujuan, pertama untuk memandikan, kedua untuk mengafankan, ketiga untuk solat jenazah, keempat untuk pengkebumian dan yang terakhir ialah untuk pengangkutan jenazah. Seterusnya kita membuka peluang kepada orang ramai untuk menginfaq bagi tujuan apa? Sekiranya ada yang ingin menderma kain putih, kita terima juga mengikut hajat penderma masing-masing.
Jika ada ahli waris yang sanggup membayar kosnya, alhamdulillah. Tetapi sekiranya tiada ahli waris yang sanggup atau mampu untuk membayar kos semua pengurusan jenazah maka adalah wajar Surau atau Masjid berkenaan menanggungnya.
Dengan kata lain, kita memberi pilihan mengikut keutamaannya;
i) Pilihan pertama ialah menyertai Skim Khairat Kematian yang begitu murah dan berbaloi sekali.
ii) Memberi peluang kepada ahli waris untuk membayar kesemua kos Pengurusan Jenazah.
iii) Membuka ruang dan peluang untuk ahli kariah memberi infaq kepada Pengurusan Jenazah.
iv) Masjid atau Surau menanggung keseluruhan kos Pengurusan Jenazah.
Inilah cadangan yang dapat saya fikirkan bagi menyempurnakan pengurusan jenazah dimana jenazah dapat disemadikan, ahli waris tidak terbeban dan kita pula tidak menanggung dosa.