Saya tak pasti di negara kita kenapa bahagian ini gagal!
Kita mempunyai banyak peraturan, undang-undang, akta, dasar dan sebagainya. Semuanya cantik tetapi apabila datang bab penguatkuasaan ia kurang berkesan. Mungkin sebab kita kuatkuasa peraturan hari ini, esok kita relaks, lusa kuatkuasa semula, tulat relaks, dan begitulah seterusnya. Atau kita tidak berani untuk membuat penguatkuasaan?
Saya selalu memberi contoh parkir kereta di universiti luar negara. Kadang-kadang kita ada urusan dengan pejabat pentadbiran universiti luar negara tersebut dan masa yang diambil hanya 5 hingga 10 minit. Maka kita meletakkan kereta di tempat parkir staf universiti kerana kita kata pada diri kita, ia hanya sebentar dan pak guard tak sempat hendak membuat rondaan.
Maka setelah meletak kenderaan di tempat yang tidak sepatutnya itu, kita berlari ke pejabat dan setelah selesai berurusan, kita berlari pula ke kereta. Sesampai di kereta terselit satu surat saman atau terlekat sebuah clamp mengunci tayar yang kita tidak inginkan itu…
Menyumpah kita dengan penuh rasa penyesalan. Duit saman itu sepatutnya kita boleh buat makan untuk sehari tetapi it’s all gone.

Terfikir juga kita, di mana dia menyorok sehingga sepantas itupun kita kena saman?
Saman yang pertama dan terakhir inilah menyedarkan kita, Don’t mess around with the university’s regulations!
Di negara kita, penguatkuasa menguatkuasakan peraturan mengikut mood dia, kalau dia rajin maka operasi dibuat. Kalau dia rasa tidak sihat maka operasi pada hari tersebut tidak dilakukan. Apabila pengguna mendapat signal ada hari yang ok dan ada hari yang tak ok maka mereka suka ‘gamble’, tak payah letak tiket parkinglah hari ini, untung-untung dia tak datang checkpun. Kita untung 50 sen.
Sebaliknya pula, walau it rains or shines, saman tetap berjalan maka semua orang tidak berani untuk gamble kerana mereka tahu saman wajib akan dikenakan. Perasaan berhati-hati dan patuh kepada peraturan akan mula bersemi.
Di Surau saya semalam pada waktu solat Zohor ada 2 orang luar. Seorang memang solat di luar manakala seorang lagi mencuba nasib masuk untuk bersolat di dalam surau. Kami AJK ada 4 orang seperti yang telah diarahkan oleh pihak JAINJ.
Tiada siapa yang cuba atau berani untuk menegur walaupun setelah iqamah dialunkan oleh bilal.
Saya berkata dalam hati, ini mungkin mereka mengharapkan Pengerusi Surau untuk menegur… Dengan ramah saya menanyakan beliau, “Dari mana Haji?” Dia menjawab, “Ni baiki rumah Hj Neddy!” Saya meluahkan bahawa orang luar kena solat di luar sambil memohon maaf kerana menuruti peraturan JAINJ. Dia dengan senang hati keluar dari ruang solat utama dan pergi ke tempat beranda surau.
Begitulah perangai kita, begitu cuak untuk menegur orang. Takut dia terasalah, takut dia marahlah dan sebagainya. Si pendatang pula berkata dalam hati, baik aku cuba, mana tahu kalau tidak ada orang yang berani menegur, solat dalam air-cond aku hari ini…
Itulah punca tiada atau lemahnya penguatkuasaan!