Alhamdulillah, Kak Long sudah berpindah dari Hospital Rompin pada hari semalam iaitu pada 26 Jun 2021. Semua barang-barangnya walaupun tak berapa banyak telah diangkat menggunakan perkhidmatan lori 1 tan. Bayaran rasanya tak mahal sangat, RM800. Mungkin kerana barangan Kak Longpun tak banyak.
Pada 1 Julai nanti, Kak Long akan melaporkan diri di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB). Episod Kak Long berada jauh dari keluarga sudah berlalu; 2 tahun di Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar (HO) dan 3 tahun di Hospital Rompin (MO). Apapun kita belum mengetahui lagi, jika ada rezeki jodohnya mungkin akan berpindah lagi.

Suatu masa dahulu, anak-anak 9 orang masih kecil tetapi sekarang sudah besar ke semuanya. Meriah sekali rumahku. Mereka masing-masing sudah besar panjang kata orang.
Bilangan mereka 9 orang akan berkurangan kembali apabila Rasyid akan balik ke UiTM Dungun pada Ogos nanti. Sakinah pula akan ke UIA Gombak nanti setelah selesai Matrikulasi di UIA Gambang.
Apapun begitulah kita… ada masa penuh, ada masa kurang. Bila penuh isterilah yang paling gembira melayan anak-anaknya. Kita biasa saja sebagai ayah. Kegembiraan kita payah untuk ditunjukkan dan rasa kesedihan pula berat untuk diluahkan. Ego ayah amat tinggi.