Kelmarin seperti yang dijanjikan, aku berada di CIMB Taman Universiti sebelum jam 9 pagi. Aku (Pengerusi) menandatangani sekeping cek bersama Hanis (Setiausaha) Badan Kebajikan Staf Fakulti Alam Bina dan Ukur (AKRAB) untuk dimasukkan ke akaun Dr. Solehin (Bendahari). Banyak bayaran-bayaran AKRAB telah Dr. Solehin dahulukan duitnya. Kesian Dr. Solehin…
Selesai menandatangan cek tersebut, aku mohon izin untuk berlalu pergi kerana aku ada kelas pada jam 9.30am.
Aku ingat semuanya settled.
Pada petang semalam, aku menelefon Dr. Solehin untuk bertanya perkembangannya. Beliau menyatakan bahawa akaun telah ditutup kerana tidak aktif. Subhanallah! Terperanjat besar aku. Macamana boleh akaun tidak aktif, bulan 3 yang lepas, mantan Bendahari telah mengeluarkan RM10,000? Setiap bulan ada duit masuk kerana ahli membayar yuran.
Aku rasa macam CIMB cuba untuk mempergunakan duit kami! Sebab itu dia freeze akaun kita, tambah-tambah musim covid ni. Itu timbul dalam perasaan aku.
Itu pentingnya tabayyun. Selidiki dulu sebelum kita membuat andaian yang bukan-bukan. Itu ajaran Islam yang sebenar. Kalau kita sudah membuat andaian dan menjatuhkan hukuman yang dia tidak lakukan maka kita telah bertindak khianat serta berlaku zalim. Na’uzubillahu min zaalik!
Pagi ini aku bersama Setiausaha lama (Hanna), Bendahari lama (Intan) dan Setiausaha baru (Hanis) sekali lagi ke CIMB di Taman Universiti kerana katanya penanda tangan yang lama perlu hadir. Kesian si Hanna yang sarat mengandung terpaksa datang.
Setelah disemak, rupa-rupanya cek yang diberikan oleh Bendahari baru yang meletakkan jawatannya adalah cek lama, cek zaman Fakulti Alam Bina dan bukannya cek Fakulti Alam Bina dan Ukur. Memanglah cek ini tidak aktif! Check book zaman PM Dr Saidin yang menjadi Pengerusi. Allahu…
Intipati dari peristiwa yang berlaku, kita boleh pelajari seperti berikut;
- Semak tarikh cek terakhir yang telah ditulis pada stub buku cek tersebut.
- Jangan ‘takes things for granted’, maksudnya apa yang diserah oleh mantan Bendahari perlu dilihat dan diteliti.
- Bersangka baik kepada pihak bank kerana bank hanya mengikuti peraturan yang telah dibuat.