Aku Sebagai Datuk Kucing…

Bersama anak-anak kucing. Mereka adalah kesayangan kami sekeluarga. Kalau melihat kepada kronologi apa yang berlaku, ia tidaklah begitu bagus sangat.

Ia bermula di tapak rumah inilah, najis-najis kucing jiran berterabur di laman. Anak-anakku marah kepada kucing jiran kerana laman tuannya yang lebih luas dan cantik tidak dikotorinya tetapi memilih laman kami untuk dihamburkan isi perut mereka.

Anak-anak mengeluh kerana susah untuk bermain badminton dan bola di laman kerana takut terpijak tahi kucing.

Ditakdirkan Allah SWT pada suatu hari, ada seekor kucing datang ke rumah kelihatan lapar. Anak-anak memang dah berbulu dengan kucing. Aku membantu anak-anak menyiarkan gambar kucing itu ke group WhatsApp Perjiranan kami jika ada sesiapa kehilangan kucing mereka. Namun hari demi hari berlalu, tiada siapa yang mengaku dan menginginkannya lantaran engkau seekor kucing kampong.

Kesian kau Smiley! Kami terpaksa memelihara dan memberinya makan Lama kelamaan bibit-bibit kesayangan mula muncul di sanubari anak-anak, terutama Angah. Kak Ngah dan Asmaa melakukan tugas membersihkan sangkar, tempat kucing berak dan sebagainya. Pada aku, itu yang paling penting…

Kucing-kucing ini juga disuntikkan imunisasi dan sebagainya. Beratus-ratuslah habis duitnya.

Semasa mereka dikuarantin di PKRC Pasir Gudang kerana positif covid tempohari, kucing-kucing ini dihantar ke rumah kucing dahulu. Hampir seribu RM kos penginapan mereka.

Itulah sebenarnya hakikat kasih sayang dan perasaan benci membenci, boleh berubah…

Apatah lagi manusia yang mempunyai tahap keprihatinan yang tinggi. Sekali kita benci, tidak selama-lamanya kita terus membenci. Kata orang sekarang, “DALAM HATI ADA TAMAN.”