Tiada perancangan sebenarnya. Selepas solat Subuh berjamaah di Surau pagi tadi, Lias mengajak aku mencari ikan segar di Kong Kong. Nama Kong Kong sudah begitu lama bermain dalam kepala aku tetapi hanya aku belum sempat untuk menziarahinya. Nama yang cukup unik bagi aku.
Nama-nama lain yang unik di sekitar kawasan Pasir Gudang ialah Masai. Oleh itu, Kong Kong, Masai dan even Pasir Gudang sendiri adalah nama-nama unik bagi aku. Bila sebut Masai, aku teringat matapelajaran Geografi yang dipelajari semasa SPM dulu. Aku teringat orang-orang Masai di Afrika!
Solat Subuh berjamaah yang bilangannya melebihi 4 orang bermula pagi tadi. Masjid di Johor dibenarkan sehingga 50 orang tetapi Surau hanya 20 orang. Seronok lama tak jumpa kawan-kawan di Surau Perjiranan 11… Tetapi jamaah yang hadir, perlu telah menjalani vaksinasi samaada sekali ataupun dua kali kecuali 3 orang AJK Surau.

Walaupun ketetapan hanya 20 orang tetapi mereka yang hadir hanya 17 orang. Masih 3 orang berkurangan dari bilangan yang dibenarkan. Begitulah kehidupan kita, hendak kuota yang banyak atau ramai yang boleh datang bersolat di Surau tetapi hakikatnya mereka yang ingin menyahut seruan Allah tidaklah ramai mana!
Kita ni hanya bercakap berdegar-degar. Kita selalu komplain, Apalah 4 orang? Apalah 20 orang? Nas mana yang dipakai dan sebagainya?
Tetapi kadang-kadang yang 4 orangpun tak penuh. Hanya datang 3 orang. Begitu juga bila limitkan 20 orang, mereka yang datang hanya 17 orang.
Come on guys! Let’s walk the talk.
Seelok-eloknya bila dia kata 20 orang maka datanglah 20 orang atau lebih seorang ke! Barulah staf pejabat agama rasa segan dengan kita. Ini nak minta kuota lebih tetapi kuota yang duk adapun tak penuh, penuh.
Oh, lupa pula hendak bercerita pasal ikan segar di Kong Kong. Ada dalam 4-5 gerai peniaga ikan. Cuma harganya agak tinggi, ikan merah RM39 sekilo, udang besar jari kelinking RM35 sekilo dan banyak lagi. Mungkin kesegaran itu yang melonjakkan harga. Hendak dikatakan faktor orang Singapura yang datang berbelanja, mereka tak boleh datang sekarang. Apapun, yang ada di Pasar Borong Pandan kira dah oklah untuk kita berbelanja…
Jom muhasabah diri!