Dalam banyak hal kita cuba memberi cadangan yang terbaik untuk organisasi yang kita terajui. Bukan untuk menempa nama tetapi kerana merasa kebertanggungjawaban yang perlu dimainkan supaya ia selaras dengan kehendak agama. Apatah lagi jika organisasi tersebut adalah berkaitan dengan hal ehwal agama.
Cuma kadang-kadang idea yang kita cuba utarakan tidak sampai kepada rakan-rakan AJK.
Pada kita apabila kita membuat sesuatu, kita kena pastikan perjalanan program tersebut baik dan selamat. Kita tidak ingin melihat ada mana-mana pihak yang cuba untuk mensabotajkan program kita. Kita juga ingin melihat ianya berhasil.
Kita bukan saja-saja berbelanja untuk menghabiskan duit tetapi ada objektif yang hendak dicapai. Kumpulan sasaran juga mesti tepat! Kita tidak mahu ada sesetengah pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan program yang dilaksanakan.
Duit memang habis kerana kita telah merancang untuk menghabiskannya tetapi biarlah matlamat tercapai. Kita tidak ingin melihat duit banyak dibelanjakan tetapi satu matlamat atau objektifpun tak tercapai.

Kalau duit kita tak apa juga tetapi apabila ia melibatkan duit orang ramai yang ingin melihat program tersebut tepat mengenai sasarannya maka kita harus berwaspada. Orang menderma kepada kita kerana mereka tahu kita guna for the good cause. Tetapi kalau kita tidak membuat check and balance maka berjawablah kita dengan Allah SWT di akhirat kelak.
Orang percayakan kita, that’s why dia beri duit untuk kita belanja. Kita tidak boleh just simply buat tanpa ada semakan dan audit.
Bila sebut tidak ada semakan dan audit teringat cerita arwah ibu saya berniaga di kampung dulu. Orang datang membeli ramai tetapi semua masuk buku 555. Bila cukup bulan hutang RM200 tetapi hanya dibayar RM100 dan terus ambil barang lagi. Hujung bulan depan begitu juga, hutang RM200, bayar RM100 dan terus ambil lagi barang.
Kerana tidak tahan dengan gelagat orang kampung yang berhutang tak pernah jelas bayarannya, saya menyindir arwah bonda, “Kalau modal duit satu loripun tak cukup.” Asyik-asyik hutang tak berbayar aje, hutang tak pernah habis. Cuma jawaban bonda kepadaku membuat aku terkesima dan akur dengan hajatnya itu.
“Kalau dia tak berhutang beras, gula, garam, biskut, budu, sos tomato, sos cili dan lain-lain barangan dengan kita, ke mana dia nak pergi berhutang?” Kita pula sekurang-kurang apabila nak makan biskut atau roti dan sebagainya maka terus ambil sahaja, tak perlu pergi beli.