Arwah Bonda Mengagih Daging Korban…

Saat menjelma Eid-ul-Adha, teringat arwah bonda yang akan mengagihkan daging korban ke seluruh pelusuk Kg. Palekbang.

Daging akan dipotong sebesar tapak tangan dan dibungkus atau dibalut dengan daun pisang. Setelah mendapat arahan bonda kepada siapa daging-daging ini akan diagihkan maka si anak termasuk saya akan bergerak dari rumah ke rumah untuk mengagihkannya.

Saya rasa saya sempat semasa daging-daging disapu garam dan dijemur. Pada ketika ini peti ais belum ada atau mungkin sudah ada tetapi kita tidak mampu untuk membelinya. Untuk menjaga daging yang banyak dari rosak, beginilah caranya.

Apabila daging yang dijemur masin tadi ingin dimasak maka arwah bonda akan membasuhkannya semula, dibuang semua garam. Kemudian dipotong-potong sebelum dimasak. Antara masakan yang sedap dimasak dengan daging ini ialah masak lemak cili padi.

Didoakan semoga arwah bonda dan arwah ayahanda tenang di sana.

Allahummagh firlahum warhamhum wa’afihim wa’fuanhum…