Aku Cukup Gembira Hari Ini…

Seorang ayah yang kurang ilmu dan amal Islamnya mencuba sedaya upaya mendidik, mencorak dan membimbing anak-anaknya supaya menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.

Banyak usaha yang dilakukan, bermula dengan memberikan nama-nama yang berimej Islam kepada anak-anak yang baru dilahirkan. Seterusnya anak-anak diajar dengan doa-doa yang mudah, diajar mengaji Quran, solat dan sebagainya, kemudian dihantar ke Tadika Islam.

Selesai di Tadika Islam, anak-anak dihantar pula ke Sekolah Rendah Islam dan seterusnya ke Sekolah Menengah Islam. Jika berpeluang memasuki kelas Tahfiz, kita masukkan anak-anak kita ke kelas tersebut. Sekurang-kurangnya hafazan anak-anak kita adalah lebih baik dari kita.

Biar belanja mahal untuk yuran persekolahan tetapi diakhir nanti, anak-anak kita akan menjadi pewaris nabi. Itulah harapan semua ibubapa yang mengambil langkah menghantar anak-anak ke Sekolah Islam dan Sekolah Tahfiz.

Kita tidak membiarkan hanya sekolah berperanan mendidik anak-anak kita tetapi kita juga mencuba sedaya upaya. Setiap waktu kita ke masjid, dibawa anak-anak bersama walaupun di waktu Subuh.

Teringat semasa saya di Kolej Siswa Desa Skudai dulu, setiap pagi saya bawa Kak Long dan Kak Ngah ke Masjid Sultan Ismail, UTM untuk solat Subuh. Pada suatu hari iaitu mungkin sehari dua sebelum Hari Raya, seorang makcik telah memberi sampul duit raya kepada Kak Long dan kak Ngah. Begitu juga dengan anak-anak lelaki, memang selalu kita bawa ke masjid atau surau supaya mereka menyukai dan mencintai Rumah Allah.

Cuma kadang-kadang kita merasa sakit hati kepada jemaah lain yang menghalau anak-anak kita yang baik dalam saf untuk ke belakang. Pada kita, baik anak-anak yang behave di sebelah kita rather than duduk di belakang dan mungkin ditolak atau dihayun oleh mana-mana budak yang kurang behave masa solat.

Pada masa ini, saya sebagai bapa cuba untuk memujuk hati anak-anak supaya jangan serik dengan gelagat pakcik atau atok yang kurang faham tentang psikologi anak-anak. Arahan yang kasar semasa anak-anak ini masih kecil mungkin membuatnya benci untuk datang ke masjid atau ke surau apabila mereka dewasa nanti. Mereka dulu mungkin ditengking oleh generasi lama dulu dan sekarang ini mereka cuba untuk membuat benda yang sama kepada anak-anak kita.

Walau apapun, di sini kita ingin menunjukkan bahawa ada usaha-usaha yang dibuat oleh kita dalam membantu anak-anak supaya menjadi anak-anak yang soleh wal musleh.

Cuma kadang-kadang impian kita tidak semuanya menjadi nyata. Kita hanya berikhtiar dan Allah Yang Maha Agong yang menentukannya. Hari ini saya bersyukur padaMu, ya Allah kerana kesemua ahli keluarga saya (11 orang termasuk saya dan isteri) berpuasa di Hari Arafah. Subhanallah, Walhamdulillah, Allahu Akbar!