Solat Sunat Hari Raya Aidil Adha

Ini gambar kelmarin, 20 Julai 2021. Solat Sunat Hari Raya Aidil Adha bersama Al-Fadhil Ust Arif Jasiman. Ustaz Arif berkhidmat di JAINJ tetapi menginap di Perjiranan kita.

Walaupun permintaan yang agak ramai untuk mengerjakan solat sunat raya, kita hanya dapat menyediakan tempat untuk 20 orang jemaah sahaja plus 3 ‘slots’ untuk imam, bilal dan noja.

Pihak surau P11 telah menyediakan juadah hari raya untuk dibawa pulang setelah selesai solat sunat raya. Kita sama-sama berdoa semoga pada tahun yang akan datang kita berupaya mengerjakan solat sunat raya seperti biasa InsyaAllah. Aamiin Aamiin Aamiin ya Rabbal ‘Alamin.

Kadang-kadang saya naik pening juga dengan gelagat orang-orang kita… Bilangan jemaah untuk solat lima fardhu diperjuangkan supaya ramainya orang boleh datang. Tetapi untuk mengisi kuota 20 orang inipun, ia tidak mudah untuk diisi. Banyak kali ruang kosong lebih banyak dari ahli jemaah yang hadir. Tetapi itulah orang kita. Biar berlebih, jangan berkurang!

Awal-awal covid dulu, kita melihat ramai manusia yang cuba rapat dengan azan, masjid dan seumpamanya, terutama di negara-negara barat seperti Jerman, Perancis, UK dan sebagainya. Manusia mula mencari-cari Allah setelah sekian lama menjauhinya.

Kemudian kita pula mula menjauhi rumah-rumah Allah demi menurut perintah mereka yang berkuasa. Saya tiada hal dalam perkara ini, cuma ia menampakkan suatu perkara yang tidak seragam. Ke tempat lain seperti ke pasar dan lain-lain dibolehkan tetapi ke surau dan masjid masih dibekukan.

Apa salahnya jika ia dibuka semaksima mungkin tetapi SOP WAJIB dijaga? Jarak antara ahli jemaah dan pelitup muka seharusnya tiada kompromi. Sekarang lagi wajar dibukakan seluas-luasnya dengan syarat sudah mengambil 2 dos imunisasi.

Kita kembali kepada Pencipta kita semula setelah agak lama kita menjauhinya!