Saya pasti kita semua adalah manusia yang tamak haloba. Kalau boleh semua kita hendak. Apa peduli kepada orang lain? Kita ingin memiliki segala-galanya. Hanya segelintir manusia yang memikirkan tentang keperluan orang lain. Walhal terang-terangan, Rasulullah ﷺ bersabda, “Tidak sempurna iman seseorang kamu sekiranya dia tidak mengasihi kawan atau jirannya sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri.”
Lihat saja Gerobok Rezeki yang dibuka di masjid dan di surau. Berapa ramai orang yang sama datang mengambil barangan berkali-kali? Habis di surau ini, dia pergi pula ke surau lain. Kita selalu nyatakan bahawa rezeki ini perlu dikongsi bersama dengan orang-orang lain juga. Orang lainpun ada juga yang susah.

Tetapi apa aku peduli, yang penting aku mempunyai stok yang lumayan dan tidak mungkin aku sekeluarga akan mati kebuluran.
Kita semua ingin menurut perintah Allah SWT. Tidak dikecualikan juga perintah Rasulullah ﷺ. Lantas kita begitu teguh ingin menunaikan Solat Jumaat setiap minggu. Limitasi bilangan Jemaah untuk Solat Jumaat begitu sedikit sekali. Masjid dibolehkan seramai 50 orang manakala Surau Jumaat hanya 20 orang.
Kita sebagai AJK Surau merasakan bahawa kita berhak untuk menunaikan Solat Jumaat saban minggu. Ahli kariah yang lain, siapa peduli, biarkan mereka walau mereka hanya boleh Solat Jumaat sekali dalam masa 6 bulan. Apa aku kisah? Kan aku ini AJK surau atau masjid!

Begitulah tamaknya orang yang bergelar ahli agama. Seolah-olah mereka sahaja ingin menjauhi dari neraka. Dan juga seolah-olah mereka sahaja ingin memasuki syurga.
Kita ketahui bahawa orang Islam tidak boleh meninggalkan Solat Jumaat 3 kali berturut-turut tanpa keuzuran. Memang kita dalam musim keuzuran covid-19. Dibolehkanpun untuk tidak mengerjakan Solat Jumaat!
Tetapi apa salahnya, kita memberi ruang kita kepada orang lain untuk mereka menunaikan Solat Jumaat. Kita boleh tunggu minggu ketiga nanti untuk kita memasuki semula ke dalam senarai. Apa ada masalah?

Sikap tamak dan tidak ingin berkongsi peluang dan kemudahan yang diberikan kepada orang lain membuatkan kita tidak endah. Kita fikir tak apa kerana mereka dalam keadaan darurat dan dibenarkan untuk tidak menunaikan Solat Jumaat.
Kita pula, dah aku yang dapat kenapa perlu aku kongsi dengan rakan-rakan yang lain? Begitu sombong kita tidak mempedulikan nasib orang lain. Kita aje ke yang hendak masuk syurga?
Apalah salahnya fikir jauh sikit… Fikirkan untuk berkongsi sedikit nikmat yang Allah berikan kepada kita. Kalau kita melihat dia punya sifir, senang aje iaitu apabila manusia suka, Nabi Muhammad ﷺ juga suka dan Allah SWT pun akan suka.
Jom kita share sekelumit nikmat yang Allah SWT berikan ini!