
Mickey kemana engkau menghilang? Kucing kami yang berwarna hitam putih tidak pulang seharian hari ini.
Malam tadi dia datang ke bilikku, duduk-duduk sambil mengusap bulunya kemudian keluar dan terus keluar rumah. Memang mereka tidur di luar rumahpun.

Kebiasaannya sewaktu kami keluar ke surau pada waktu subuh, dia akan masuk ke rumah untuk makan pagi. Sekitar jam 9 lebih dia mula mengantuk dan ingin tidur. Mickey tidur samaada di beranda bilikku atau di aras bawah berdekatan ‘sliding door’. Itulah tempat ‘favourite’ dia.
Bila dia bangun? Dia akan bangun sekitar jam 3 lebih atau 4 petang untuk makan.

Sekitar jam 5.30 petang, dia akan berlari-lari mengejar adik-adiknya di laman rumah kami. Sesekali dia akan mengacah ibunya, Smiley. Smiley seekor ibu yang ‘cool’, selalu melayani anak-anaknya, baik yang sulong (Mickey) mahupun anak-anak yang kecil (Hendry, Daisey, Stripy dan lain-lain). Dia tidak akan menghampakan gurauan anak-anaknya. Setiap gurauan pasti berbalas!

Aku agak terasa kehilangan Mickey. Kadang-kadang apabila dia di tingkat bawah, aku memanggil namanya untuk naik ke atas untuk tidur di tempat kebiasaannya, dia akan datang…
Sekejap tadi sekitar pukul 9.30 malam, aku bersama Asmaa keluar rumah berjalan-jalan mencari Mickey. Sambil berjalan sambil memanggil nama Mickey. Tiba-tiba kelihatan ibunya, Smiley turut serta berlari-lari anak. Mungkin Smiley faham bahawa kita meronda-ronda di luar rumah mencari anaknya, Mickey.
Mickey kemana kau menghilang? Aku rindu padamu…