Selamat Hari Lahir Buat Adikku…

Selamat Hari Lahir Su! Abe doakan semoga Su sihat sejahtera, dipanjangkan usia dalam ketaatan kepadaNya, dipermudahkan segala urusan dan selamat di dunia mahupun di akhirat serta mendapat redha Allah insyaAllah.

Doaku sebagai seorang abang kepada adik bongsunya. Dialah satu-satunya adikku yang ada, hasil dari keturunan ayah dan ibu kandungku.

Perbezaan umur kamipun tidaklah jauh sangat, berbeza hanya 3 tahun. Aku berusia 57 tahun manakala Su berusia 53 tahun.

Apabila kita sudah tiada orang tua maka adik beradiklah yang menjadi peneman rapat. Semasa ada ibu dulu, dialah menjadi sandaran kita. Sebut apa aja yang hendak dimakan, sudah pasti akan tersedialah nanti oleh bonda. Bonda tidak banyak beralasan, yang penting anak-anaknya bahagia! Itulah matlamatnya.

Kepada kita yang sudah ketiadaan ayah bonda, cubalah dengan sebaik mungkin untuk mengirim bekal kepada mereka. Aku pasti mereka tertunggu-tunggu kiriman kita.

Semalam aku sempat kirimkan senaskah al-Quran kepada mereka. Al-Quran itu aku wakafkan di atas nama ayahanda dan bondaku kepada sekolah tahfiz di pantai timur Semenanjung Malaysia. Apalah sangat RM150 dengan jasa bakti yang dicurahkan mereka kepada kita? Aku mengharapkan agar aku dapat beristiqamah mengirim benda-benda yang bersesuaian kepada orang tuaku sentiasa. Ada sikit kirim sikit dan ada banyak kirim banyak.

Begitu jugalah harapan aku kepada anak-anak apabila aku sudah tiada. Didoakan mereka menjadi anak-anak yang soleh yang selalu mendoakan kepada orang tua mereka.

Begitu jua aku mengharapkan anak-anak Su yang mana kesemuanya perempuan juga turut tidak lupa untuk mendoakan kepada ibu dan ayah mereka insyaAllah.