Salam Maal Hijrah 1443. Selamat menyambut tahun baru Islam. Kepada sesiapa yang ingin tahu umur masing-masing dalam kalendar hijri sempena awal muharam ini maka bolehlah klik link ni,
https://www.e-solat.gov.my/index.php?siteId=27&pageId=39 Umur tahun masihi dan umur tahun hijri adalah berbeza. Saya dilahirkan pada 1 September 1964 bersamaan dengan 23 Rabi’ulakhir 1384. Umur Miladi saya ialah 56 Tahun 11 Bulan manakala Umur Hijri saya ialah 58 Tahun 8 Bulan.
Sempena Maal Hijrah ini, kita doakan semoga hari-hari mendatang akan menjadi lebih baik dari hari-hari sebelum ini. Kita doakan juga supaya pandemik covid-19 akan diangkat oleh Allah SWT dari muka bumi ini.
Kita doakan supaya semua kita dipermudahkan segala urusan, baik urusan dunia mahupun urusan akhirat.

Kita juga doakan semoga kawan-kawan kita diberikan kelapangan dari segala aspeks; kewangan, kekeluargaan, pembelajaran dan perhubungan sesama insan. Dimohonkan juga supaya dijauhkan dari sifat prasangka buruk dan hadirnya perasaan benci membenci antara kaum. Kita semua makhluk Allah SWT yang diciptakan supaya saling bertaaruf sesama kita.
Sesungguhnya, orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa!
Pagi tadi sedang saya memberi ikan makan di kolam Perjiranan 11, BDO, datang seorang ‘Aci’ dengan seekor anjing. Beliau bersiar-siar di kawasan perjiranan.

Beliau berasal dari Gerik tetapi datang menziarahi anaknya yang kurang sihat di Perjiranan 11. Rentetan MCO, beliau tidak dapat pulang semula ke Gerik. Beliau berusia 64 tahun, mengidap penyakit jantung, kencing manis dan sebagainya. Beliau juga mempunyai 4 orang anak; 2 di Johor dan 2 di Perak. Mendiang suami meninggal dunia lebih kurang 30 tahun yang lalu.
Dalam perbualan kami, beliau memanggil saya pakcik walaupun saya memberitahunya saya berusia 57 tahun. Saya pula membahasakan dirinya sebagai kakak.
Beliau menanyakan saya jika ada bantuan makanan kerana anaknya sudah tiada pekerjaan.

Kebetulan En. Lias (AJK Surau P11) datang menyapa saya di kolam. Jadi saya mohon jasa baik En. Lias untuk membawa satu set bingkisan Gerobok Rezeki Surau Perjiranan 11 kepada Aci tersebut.
Alhamdulillah! Beliau amat teruja dengan pemberian dari Surau Perjiranan 11. Moga kita semua dirahmati Allah SWT dan dipermudahkan segala urusan insyaAllah.