Kawanku Dimasukkan Ke Hospital

Dapat perkhabaran sahabat aku, Dato Haji Mohammad Razi Kail dimasukkan ke hospital.

Katanya telah di‘intubated’ (ditidurkan) disebabkan masalah hati dan darah acidic.

Kami sama-sama ke Language Center of the Pacific, Azusa, California (1982) selepas SPM. Kami ‘share’ beli kereta bersama; Razi, aku dan Aziz. Sebenarnya, kami bertiga belum mempunyai lesen memandu ketika membeli Datsun B210. Kereta tahun 1978 itu dibeli kalau tak silap dengan harga US$1,800. Razilah yang mengajar aku ‘How to drive’. Razi berpengalaman membawa teksi bapanya sebelum ke USA.

Kemudian Razi ke Arizona State University di Tempe manakala aku ke Northern Arizona University di Flagstaff. Kemudian kami berjumpa semula pada tahun (1984-1986) di University of Southwestern Louisiana (sekarang dikenali sebagai University of Louisiana at Lafayette).

Lepas itu masing-masing berpisah, aku ke Kansas State University untuk Master’s degree (1986-1988) manakala Razi rasanya ke Georgia Tech kalau tak silap. Kami belum berjumpa semula sejak tahun 1986.

Sekembalinya ke tanah air, beliau berkecimpung dalam politik dan pernah menjadi ADUN buat beberapa penggal di Negeri Sembilan.

Aku mendoakan semoga Dato’ Razi diberikan kesembuhan tanpa bekas, dipermudahkan segala urusan serta sentiasa mendapat limpahan rahmat Allah SWT di dunia dan di akhirat insyaAllah. Aku juga mengharapkan Datin Rafidah bersabar diatas ujian yang berat ini.

Syafakallah!