Bicara Pasal Makan…

Kita biasa dengar tentang saranan Nabi SAW supaya berhenti makan sebelum kenyang. Tetapi hadis di bawah ini agak berlainan bunyinya.

Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1633.

Dari Abu Hurairah R.A., katanya: Ada seorang laki-laki yang biasanya banyak makan. Setelah ia masuk Islam, makannya sedikit. Hal itu diceritakan orang kepada Rasulullah SAW. Beliau bersabda: “Orang yang beriman makan untuk satu perut. Orang yang kafir makan untuk tujuh perut.”

Apapun kita disarankan supaya mengurangkan makan. Makan secara berlebihan hanya akan memudaratkan badan.

Pengalaman saya, apabila kita makan berlebih-lebihan ia akan membuat kita malas. Malas segala-galanya. Malas untuk melakukan kerja, malas untuk beribadat dan malas untuk bergerak.

Bila kita sudah meningkat usia, kita tidak lagi makan sebanyak dulu. Selera menjadi hambar dan tidak lagi seperti dulu. Dulu sekali makan 2 pinggan tetapi sekarang hanya separuh pinggan.

Ada juga orang berkata, “Kita kurangkan makan untuk kita makan lebih lama…” Apa maksudnya?

Maksudnya ialah jika makan secara berlebihan, kita akan mudah mendapat penyakit, kita tidak akan hidup lama dan tempoh pemakanan kita menjadi pendek.

Tetapi apa yang penting ialah kita sentiasa berdoa dan bersyukur dengan makanan yang kita dapat. Keberkatan makanan itu adalah lebih utama dan seterusnya mungkin memanjangkan usia kita.

Kita makan untuk hidup dan bukannya hidup untuk makan!