Semakin Diuji Semakin Dekat PadaMu..

Surau Jumaat, surau dan masjid di Johor sudah dibenarkan bilangan kapasiti jemaah yang ramai bermula 12 Ogos. Surau biasa maksimum kapasiti masih 20 orang untuk solat fardhu.

Bagi Surau Jumaat dan masjid, ia mengikut kapasiti 1/4 keluasaan bagi bilangan peserta solat Jumaat. Solat fardhu pula bilangan maksima ialah 50 orang.

Dan syarat yang tak kurang pentingnya adalah semua yang hadir adalah mereka yang sudah mendapat 2 dos vaksin dan dos terakhir mestilah sekurang-kurangnya sudah melepasi 14 hari yang lalu.

Ahli kariah yang hadir ke Surau dan Masjid perlu membawa sijil vaksinasi yang dibekalkan dalam MySejahtera dan ditunjukkan kepada AJK bertugas. Ia bukanlah untuk menyusahkan kita tetapi memberi peluang kepada ramai yang ingin ke masjid tetapi pada masa yang sama menjaga pemakaian SOP yang ketat.

Solat Jumaat di Surau Perjiranan 11 pada hari ini, bilangan mereka yang datang tidak dapat memenuhi kuota yang diberikan. Ini mungkin kerana masih ramai yang belum mendapat 2 dos vaksin. Jadi masih ada ruang kosong di dalam surau semasa solat Jumaat tadi. Tetapi saya pasti ia bakal dipenuhi dalam masa seminggu dua lagi insyaAllah.

Kita berdoa kepada Allah SWT supaya memberkati usaha yang dibuat oleh pihak JAINJ dan MAINJ. Mudah-mudahan usaha ini berjaya membendung gejala covid-19 serta tidak melumpuhkan semangat mereka yang ingin beribadat di Rumah Allah. Aamiin aamiin ya Rabbal ‘Alamin.