Saiful Basri Hassan Basri Kirim Gambar

Aku mendapat sekeping gambar, hantaran dari kawan lama semasa aku belajar di Kansas State University (KSU). Kawan aku itu ialah Saiful.

Dia menghantar gambar yang diambil semasa dia menghadiri konvokesyennya. Kami bertiga ini tinggal serumah. Aku, Saiful dan Aman.

Aman adalah senior kami yang aku sendiri tak pasti samaada beliau balik ke Malaysia ataupun tidak. Beliau berasal dari Terengganu.

Aku di KSU semasa membuat Master in Regional & Community Planning dari tahun 1986 hingga 1988.

Yang pasti perjalanan aku dari Louisiana ke Kansas pada tahun 1986 adalah sungguh ‘memorable’.

Beberapa minggu sebelum aku berhijrah dari Lafayette, LA ke Manhattan, KS; aku menelefon syarikat yang menjalankan aktiviti perpindahan. Tujuannya ialah untuk aku mendapatkan kereta untuk dipandu ke sana.

Mat Salleh ni… kalau dia ingin berpindah dan kadang-kadang dia malas untuk memandu, dia akan menghantar keretanya ke syarikat yang membuat transportation barang mahupun kenderaan.

Syarikat itu pula jika ada orang yang hendak membawa kenderaan ke tempat yang dituju tanpa bayaran lagi la mereka suka. Aku tak ingat samaada aku diberikan duit minyak atau tidak. Tetapi aku rasa mesti diberikan! Tempoh masa yang perlu aku deliver kalau tak silap ialah dalam masa 3 hari.

Kalau tak silap aku, ada kawan yang hantar aku untuk mengambil kereta tersebut di Baton Rouge dan aku membawanya seorang diri ke Kansas City. Suatu jarak yang agak jauh 764 batu (hampir 12 jam perjalanan).

Aku teringat di suatu ketika aku amat penat dan berhenti seketika di tempat Hentian. Ia bukan seperti R & R kita yang mempunyai kedai makan dan sebagainya. Aku berehat seketika di atas bangku yang disediakan. Bila aku tersedar kembali, keadaan sekeliling sudah gelap! Astaqfirullahal Azim.

Aku berjaya menghantar kereta tersebut ke Kansas City, alhamdulillah. Itulah antara pengalaman-pengalaman yang kita lalui dengan berani tanpa rasa takut orang akan kidnap kita dan sebagainya.