Rumah aku tak boleh tak ada buah. Mesti ada walaupun buah kedondong masak yang dikutip di sebelah Perpustakaan Sultanah Zanariah, UTM. Tak semua orang tahu pokok kedondong ini! Akupun tak tahu sehinggalah ternampak cleaner mengutip buahnya yang jatuh. Pokoknya sungguh tinggi.
Aku terikut-ikut dengan gaya arwah bapa mertua, Hj Shaari Awang. Di rumahnya wajib setiap hari ada buah samaada pisang, mangga, rambutan, manggis, durian, nenas dan sebagainya.
Pulasan memang tak ada di Kelantan. Mungkin tanah Kelantan tak sesuai untuk tanam pulasan. Wallahua’lam.

Rumah aku sejak kebelakangan ini setiap hari, aku beli 3kg pulasan dan 2kg dokong atau duku langsat. Dah RM20. Esok atau lusa beli lagi…
Masa musim durian hari tu, tak payah cakaplah, 3-4 hari sekali beli durian. Beribu-ribu habis duit makan durian. Ya lah 11 orang punya makan.
Semalam aku nampak iklan 50kg pulasan untuk RM70. Congak-congak berbaloi juga kalau dibeli. Akupun mesej si penjual. Ok ngam, dia ‘on the way’ hantar pulasan ke Kempas, Pasir Gudang dan ‘on the way’ balik nanti dia singgah hantar untuk aku.

Dia datang dari Pontian. Bawa pick-up truck. Katanya, kalau banyak order 3-4 trip juga dibawa buahnya.
Aku sempat tanya selain pulasan buah apa lagi dia jual? Dia kata cempedak RM4 sekilo. Duku langsat RM2 lebih sekilo…
Berbalik kepada cerita pulasan yang dibeli semalam… Alhamdulillah masih ada.
Jiran-jiran sebelah rumahpun alhamdulillah dapat merasa sikit seorang, baik Melayu mahupun Cina.

Saya terkilan dengan jiran Cina depan rumah, buah betik di depan rumahnya berbuah tak putus-putus dan dah berapa kali dia berikan kepada kita. Pernah kita nak berikan Nasi Arab, dia kata dia tak makan daging. Alhamdulillah semalam dapat berikan pulasan. Seronok sangat apabila budi dapat dibalas.
Orang berbudi kita berbahasa, Orang memberi kita merasa…