Pisang Nangka

Saya suka makan pisang nangka rebus. Rasanya masam-masam manis. Kalau beli pisang gorengpun sama, saya mesti tanya pisang nangka. Pisang nipah ke apa, saya tak suka sangat. Makan juga tapi tidak ‘favorite’ mana walaupun cicah kicap.

Sejak duduk Johor, pisang goreng tanpa kicap tak suka mana. Mesti ada kicap. Ini orang kata, “Alah bisa tegal biasa”. Masa dulu-dulu hairan juga, apalah makan pisang goreng dengan kicap pedas?

Apa yang hendak diceritakan di sini ialah berkaitan pembelian pisang nangka dengan sahabat saya.

Masa saya beli pisang nangka setandan dulu, adalah 1-2 sikat yang tak elok. Bila kita rebuspun, dia tak boleh makan. Mungkin kerana penyakit ke apa. Pisang itu ada tompok-tompok hitam.

Kelmarin sahabat saya membawa setandan lagi pisang nangka untuk ganti. Rosaknya tak sampai setandan tapi gantiannya, subhanallah!

Saya memaklumkan kepadanya, tidak mengapa yang dulu. Saya halalkan. Yang baru ini saya nak beli lagi dan minta dia hantarkan ke rumah… Kebetulan masa dia hantar saya sudah ke Surau Perjiranan 11 untuk menunaikan solat fardu Jumaat. Bila balik dari solat, isteri memaklumkan bahawa Firdaus hantar pisang tetapi tidak dikenakan bayaran.

Hanya ucapan Jazakallahu Khairan Kathira dari saya. Mudah-mudahan Allah SWT murahkan lagi rezeki Firdaus dalam apa jua bentuk insyaAllah.