Hanya nak royat Nasi Berlauk Air Dingin dah sampai di Johor. Laukpun ada banyak jenis juga; ada ikan aya, daging kerutuk dan sebagainya.
Pagi tadi ambo pergi ke kawasan flat Bukit Mutiara, ingat nak cari kuih-muih Kelate.
Tiba di satu gerai, terpampang signage Nasi Air Dingin. Apa lagi, terus beli sebungkus lauk ikan tongkol.
Tanyaku pada adik si penjual, “Nasi ni naik flight ke dari Kelantan?” Dia jawab, kadang-kadang naik Hilux dan kadang-kadang naik bas.
Nasi yang tersohor di Kelantan boleh sampai untuk dipasarkan di Johor.
Harga nasi ini di Kelantan hanya RM3.50 tapi di Johor dijual dengan harga RM5. Oklah pada saya, berbaloi dengan tambang.
Nasi Air Dingin ini memang dimakan sejuk, maksud saya bukan makanan masakan panas. Tapi kalau nak panaskan boleh aje masuk ‘microwave’.
Saya cukup ‘respect’ mereka yang membawa keluar nasi dari Kelantan ke Johor. Di Kuala Lumpur sudah lama dilakukan, nasi dihantar melalui ‘flight’ di awal pagi dari Pengkalan Chepa ke Subang.
Apa yang ingin saya nyatakan di sini bahawa Desa Air Dingin boleh tersohor ke seluruh negara dek kemasyhuran nasi berlauknya.
Dulu masa saya bersekolah di Sekolah Menengah Tumpat pada tahun 1977, saya mengayuh basikal dari Palekbang melalui Wakaf King, Berangan, Air Dingin, Terbak dan sampai ke sekolah.
Kawasan yang paling menakutkan ialah Terbak kerana ia merupakan kawasan penempatan orang Siam yang memelihara anjing dan khinzir. Apatah lagi di situ (Persimpangan 3) terletaknya sebuah Wat Siam yang cukup besar. Bayangkanlah, kita dikala usia 13 tahun…
Mungkin boleh difikirkan kembali tentang nasi Air Dingin tadi. Apakah cara selain dari membawanya dengan Hilux atau bas SKMK ke Johor Bahru? Mungkin buat sistem franchise? Boleh masak terus di Johor Bahru dengan menggunakan resepi yang di’patent‘kan itu. Atau ada cadangan lain?