Kejayaan bagi setiap orang berbeza. Ukuran kejayaan itu sendiripun berbeza. Neraca apa yang kita gunakan?
Kalau kita menggunakan neraca kesenangan hidup dari kecil sampai ke dewasa sebagai kejayaan maka kita akan dapati golongan diraja atau bangsawanlah yang berjaya dari kaca mata tersebut.
Tetapi kalau kita menggunakan neraca keberkatan hidup maka kita akan mendapati golongan yang taat beribadah dan reda dengan apa yang ada, adalah mereka yang berjaya. Berpeganglah dengan sifat Qanaah!
Sesungguhnya kejayaan itu berbeza-beza. Mempunyai segala apa yang diinginkan mungkin dikatakan sebagai berjaya. Keberadaan dalam suasana yang aman dan tenang mungkin dikira sebagai suatu kejayaan.
Sekarang pelbagai skim telah wujud hanya untuk memberi ‘kejayaan demi kejayaan’ kepada sesetengah daripada kita. Yang pasti semua skim-skim ini pasti ada peminat yang cuba melaburnya.
Cuma kita perlu berhati-hati dalam menilai sesebuah skim tersebut.
Sekiranya ia memberi pulangan yang tidak masuk akal maka usahlah kita menjerumuskan diri. Apabila ini terjadi sudah pasti akan ada mereka yang teranianya dan lebur dalam pelaburannya.
Berfikirlah secara rasional dan jangan mudah terpedaya.
Masyarakat kita rata-ratanya ingin mendapat hasil yang mudah. Mereka yang terjebak dengan skim Pak Man Telo dan seumpamanya terdiri dari golongan yang terpelajar. Guru-guru, pensyarah-pensyarah dan sebagainya yang tidak berfikir secara lojik selalu mudah terkena.
Dalam dunia ini, tiada perkara yang mudah dan tidak memerlukan perjuangan dan pengorbanan. Untuk mendapatkan RM1, mungkin kita perlu mengorbankan 50 sen.
Begitu juga dengan ubat-ubatan. Tiada ubat yang boleh menyembuhkan segala penyakit. Ubat tertentu hanya boleh menyembuh penyakit tertentu. Kita perlu peka supaya kita tidak mudah tertipu dan terpedaya.
Jadilah kita manusia yang berilmu. Dan bukannya manusia yang hanya mengikut apa saja orang kata…
Dan yang terpenting ialah kita perlu menjadi hamba yang bersyukur!