Hari Akademia

Pada 5 Oktober setiap tahun diadakan Hari Akademia yakni hari sambutan kepada pensyarah-pensyarah di seluruh Malaysia. Bulan Oktober juga dikenali sebagai Bulan Akademia.

Ia bermula pada tahun 2019 apabila seorang pensyarah menjadi Menteri Pendidikan.

Sepatutnya begitulah kerana orang yang berkecimpung dalam bidang inilah yang lebih memahami hasrat dan kehendak serta impian seorang pensyarah. Terima kasih YB Dr. Mazlee Malik.

Sebelum ini pensyarah hanya menempel nama semasa sambutan Hari Guru. Pun begitu tiada siapa pensyarah yang menyambutnya. Apabila tiada pensyarah yang ingin dihargai jasanya maka tiada pelajar yang meraikan mereka, para pensyarah.

Amat berbeza dengan para guru, pada 16 Mei setiap tahun penuh ‘boot’ kereta mereka dengan hadiah-hadiah dari murid-murid.

Kita selalu dengar, kebanyakan orang begitu menghargai pengorbanan guru-guru tadika dan sekolah rendah mereka. Pengalaman diajar Membaca, Menulis dan Mengira (3M) sangat-sangat dihargai. Tanpa tunjuk ajar mereka, sudah pasti kita menjadi seorang yang buta huruf. Satu lagi ialah Guru al-Quran kita. Tanpa dia maka buta al-Quranlah kita.

Sebaliknya pula, tiada siapa yang menghargai pensyarah yang mengajar kita dan mereka di menara gading. Di sinilah kita belajar tentang integriti, tepati masa, ekonomi, sosial, politik dan lain-lain lagi.

Sambutan Hari Akademia pada tahun ini hanya disambut secara online semata-mata. Tidak seperti tahun-tahun sebelum ini yang mana kita membuat gotong royong menanam pokok dan melakukan aktiviti ‘plogging’ dan sebagainya.

Tema Hari Akademia pada tahun ini ialah “Akademia Diperkasa, Digitalisasi Dibudaya”.