Saya pagi tadi membuat senaman pagi dengan berjalan-jalan di sekitar taman Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato Onn bersama isteri. Apatah lagi kita (Johor) sudah berpindah ke fasa 3, nampak agak ramai yang turun beriadah. Ada yang bermain bola dengan anak-anak, ada yang naik basikal dan sebagainya.
Bila balik setelah mandi, solat sunat Dhuha saya akan tidur kembali supaya masa jumaat nanti tidaklah mengantuk sangat. Kadang-kadang tidur semasa khutbah jumaat ni, ia menjadi tabiat. Bukan mengantuk sangatpun… Saya selalu ke Surau/Masjid untuk solat Jumaat pada pukul 12. Jadi sempatlah habiskan surah al-Kahfi.
Sekitar jam 11 lebih tadi, telefon saya berbunyi, mengejutkan saya dari tidur. Seorang hamba Allah memberitahu bahawa dia disaman kerana tidak habis pengajian PhDnya. Dia memaklumkan bahawa sudah dekat 10 tahun dia tidak berjaya dalam PhDnya tetapi sekarang pula mendapat saman.
Saya turut bersimpati tetapi apa yang saya dapat buat hanyalah meminta beliau merujuk kepada pihak-pihak yang mempunyai pengalaman supaya dapat memilih 3 pilihan yang diberikan oleh pihak yang menyamannya.
Masa berubah dan keadaanpun berubah. Dulu sesiapa yang gagal PhD tiada apa tindakan yang diambil. Yalah, tiada siapa yang menyambung pelajaran ke peringkat tertinggi ingin gagal. Saya pasti tiada manusia yang mukallaf yang inginkan kegagalan!
Tetapi sekarang tindakan saman diambil!
Begitu juga sesiapa yang ingin naik pangkat ke gred 54, tak banyak soalpun dulu. Hendak naik ke JUSA C pun tak perlu ada PhD. Tapi itu dahulu. Lain hulu lain parang, lain dulu lain sekarang.
Sekarang, walaupun sudah berkhidmat 26 tahunpun, belum tentu dapat naik ke Gred 54.
Itulah, kadang-kadang kita sepatutnya bersyukur apabila kita berada di waktu senang dahulu berbanding dengan waktu yang ada sekarang. Apa-apapun kita sewajarnya bersyukur selagi masih diberi nyawa untuk kita terus berkhidmat kepada agama, bangsa dan negara.
