Minta Jauh Dari Merasa Diri Ini Sempurna…

Kadang-kadang kita merasa malu, menulis tentang kebaikan-kebaikan yang kita lakukan kepada umum. Seolah-olah kita ini penuh dengan kebaikan. Astaqfirullahal Azim!

Walhal diri kita ini penuh dengan keburukan tetapi takkan kita ingin ‘share’ perangai buruk kita. Nanti jika orang tiru, kita juga akan mendapat ‘share’ kejahatan orang lain yang meniru kejahatan kita. Nauzubillahu min zaalik!

Kita nyatakan yang cantik-cantik supaya jika ada yang tiru maka kitapun turut sama mendapat pahala. Minta jauh sangat-sangat kita merasa riak atau sombong dengan amalan yang tak seberapa itu.

Saya merasa begitu takut apabila membaca berita-berita rogol, gangguan seksual dan sebagainya yang diceritakan dengan begitu sensasi sekali serta ditunjukkan ilustrasi gambar tangan lelaki menekan tangan perempuan dan seumpamanya. Saya tahu penulis ingin menarik pembaca tetapi tidak perlulah kita menulis sehingga orang lainpun ingin turut sama melakukan aksi seperti yang digambarkan secara mental apatah lagi secara fizikal. Astaqfirullah!

Saya teringat Adam Corrie yang menjadi muallaf pada tahun 2007 dan menjadi tokoh Maal Hijrah Muallaf negeri Selangor pada tahun 2017 bercerita di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato Onn pada suatu malam bahawa dia ke masjid untuk solat Jumaat pada pukul 12 atau awal lagi.

Lantas saya berkata kepada diri saya kenapa aku yang lahir Islam datang untuk solat Jumaat hanya apabila azan dikumandangkan?

Dalam posting saya semalam, diceritakan tentang membaca surah al-Kahfi dan sebagainya. Tiada niat lain tetapi sekadar ingin mengajak bersama untuk membacanya.

Membaca surah al-Kahfi ini tidak akan berlaku jika kita tidak betul-betul programkannya. Walau sekadar 110 ayat dan memakan 11-12 muka surat, ia tidak akan berjaya dibaca saban minggu tanpa adanya istiqamah diri.

Akhir kalamnya, saya memohon banyak-banyak maaf sekiranya ada penulisan saya yang tuan/puan merasa seolah-olah saya ingin menunjuk-nunjuk tetapi tolong doakan saya supaya saya ikhlas dan terus tsabat untuk berkongsi kebaikan bersama-sama.

Jazakumullahu khairan kathira.