Pada semester ini, aku di‘recycle’ menjadi Penasihat Kelab LADS dan seperti biasa menjadi Penasihat Akademik (PA) untuk 18 orang pelajar baru (Tahun 1) serta pelajar otai seorang dua (baki pelajar tahun 4).
Aku yang mintapun supaya dapat melaksanakan tugas-tugas penasihatan sebelum aku bersara wajib pada 1 September 2024 nanti. Benda yang sebegini, aku berani minta tetapi yang lain-lain biarlah masa yang menentukan.
Sesi penasihatan waktu dulu tidak sama dengan waktu sekarang. Dulu pelajar-pelajardi bawah PA kita akan berusaha untuk datang menemui kita untuk mengambil tanda tangan untuk mendaftar mata pelajaran di awal setiap semester. Sekarang pelajar tjdak perlu lagi datang, mereka boleh buat secara online aje.
Masa dulu, masa jumpa inilah kita belai, gasak, taji dan apa aje yang kita nak panggil ‘as long as’ kita dapat memberi kata-kata perangsang supaya mereka menjadi manusia berguna.
Saya ingat lagi, saya selalu berkata kepada pelajar dibawah PA saya, “Kursus kita ini kalau awak dapat ‘Cumulative Grade Point Average’ (CGPA) kurang dari 3.0 memang awak seorang yang kurang rajin. Bukan ada banyak ‘calculation’ seperti pelajar-pelajar ‘engineering’pun.

Setiap semester saya jumpa pelajar-pelajar sehingga semuanya melepasi CGPA 3.0.
Dan yang paling tragis ialah apabila saya menjumpai seorang pelajar ini yang sudah beberapa semester tetapi CGPAnya masih tidak lepas 3.0. Cerita ini saya ulang dan ulang dan ulang seperti kita melihat cerita Allahyarham P. Ramlee. Sungguhpun diulang-ulang tetapi pengajaran yang boleh dipelajari masih relevan. Akhirnya dia menceritakan bahawa saya tidak boleh belajar dengan sempurna kerana tiada wang! Saya makan sekali sehari di waktu tengahari, hanya nasi berlaukkan telor, hari Isnin Khamis saya berpuasa.
Kenapa semua pelajar layak untuk mendapat pinjaman PTPTNkan?, soal saya.
Ya, tetapi saya tidak dapat kerana IC saya IC palsu!
Mana saya tengok IC kamu? Dikeluarkan IC bunga raya kepada saya. Pada masa itu semua kita menggunakan IC ini sebelum kita mempunyai IC yang biru keras sekarang ini.
Saya meneliti ICnya tiada apa bezanya dengan IC saya kecuali apabila disuruhnya belek ke sebelah. Garisan ‘Barcode’ yang ada pada ICnya tidak berupa ‘straight line’ tetapi ia merupakan ‘line-line’ yang agak bengkok ke kiri kanan. Nampak macam dia ‘sway’ dari garisan lurus.
Saya hanya tahu IC saya palsu apabila saya ingin membuka akaun di bank di UTM. Staf bank memaklumkan, dik IC adik adalah IC palsu!
Ok mulai hari ini, awak datang makan di rumah saya, maklum saya padanya. Pada waktu itu, saya menjadi Felo di Kolej Siswa Desa Skudai.

Saya cukup terharu perjalanan kehidupan pelajar ini. Banyak kerja yang dia buat untuk ‘survive’. Menjaja burger dari bilik ke bilik di asrama, mengajar anak-anak jiran mengaji al-Quran dan lain-lain lagi.
Itulah anak pendatang asing begitu cekal. Kalau anak-anak kita belum tentu ‘survive’. Mungkin bertahan sehingga tahun 2 saja.
Apabila masuk tahun akhir, universiti ingin membuangnya dari pengajian kerana tidak pernah membayar yuran dari tahun 1. Alhamdulillah, universiti juga memanggil saya sebagai PA dia, pegawai HEP dan pegawai Bendahari universiti bermesyuarat untuk mengambil tindakan kepada pelajar tersebut.
Saya menyarankan dalam mesyuarat tersebut supaya pelajar dibiarkan meneruskan pengajiannya hingga akhir tetapi kita tidak memberikan ijazahnya sehingga beliau membayar hutang-hutangnya. Jika kita ‘terminate’ dia pada tahun akhir ini, semua orang rugi.
Pelajar sudah pasti tak akan membayar hutangnya kerana dia telah hilang segala-galanya, masa, wang, umur dan sebagainya. Universiti pula akan hilang duit yuran yang sepatutnya dia dapat.
Alhamdulillah, pengakhiran cerita yang baik! Pelajar dapat bergraduasi dan berjaya menjadi manusia yang berkhidmat kepada agama, nusa dan bangsa. Universiti mendapat balik hutang-hutangnya kerana pelajar mendapat duit zakat untuk menyelesaikannya.
The End! Tamat! Selesai!