
Hari ini bermulalah Semester II Sesi 2020/2021 di UTM Johor Bahru.
Kelas saya hari ini dari jam 2 hingga 4 petang. ‘Believe it or not’, kelas saya mengandungi 94 orang pelajar tahun 2 termasuk 2 orang pelajar internasional. Pelajar antarabangsa ini seorang dari Indonesia manakala seorang lagi dari China. Inilah kelas yang paling ramai yang pernah saya ajar sejak tahun 1995!
Hari ini saya hanya memperkenalkan diri dan meminta setiap pelajar memperkenalkan diri mereka masing-masing. Masa 2 jam untuk kelas hari ini tidak mencukupi untuk semua pelajar memperkenalkan diri. Saya hanya meminta mereka memaklum bahawa mereka anak yang ke berapa dalam keluarga, dari mana asalnya, pekerjaan ayah serta ibu. Itu saja.
Saya memaklumkan tujuan sesi ini dibuat supaya mereka tidak merasa kekok atau gugup apabila ingin memberi apa-apa pandangan dalam kelas nanti.
Saya juga memaklumkan bahawa saya perlu berlaku adil pada semua. Maksudnya, saya tidak akan bercakap dalam Bahasa Inggeris SEPENUHNYA hanya kerana ingin memenuhi keperluan seorang pelajar dari China. Kalau tidak saya mungkin menganiaya 93 pelajar lain yang mungkin kurang faham Bahasa Inggeris.
Saya juga memaklumkan bahawa semasa saya belajar di USA dulu, saya perlu memahami Bahasa Inggeris, baik secara tulisannya mahupun secara percakapannya. Apa yang saya buat? Mendengar ‘news’ & membaca ‘newspaper’ setiap hari adalah wajib. Pada awalnya terasa betapa sengsaranya hidup. Apabila kita bercakap Mat Salleh tak faham dan begitulah pula sebaliknya.
Alhamdulillah, saya berjaya juga mendapat Ijazah Sarjana Muda dari University of Louisiana dan Ijazah Sarjana dari Kansas State University. Saya juga berpeluang mengambil elektif 2 kelas Bahasa Jerman dan kedua-duanya mendapat A!
Itulah natijahnya apabila kita belajar di luar negara. Belajar di Jepun, kuliah dalam Bahasa Jepun, Belajar di Jerman, kuliah dalam Bahasa Jerman, Belajar di Perancis maka kuliah dalam Bahasa Perancis. Belajar di al-Azhar University maka kuliah dibuat dalam Bahasa Arab.
Apapun saya tak merasa bahawa pelajar China ini akan menghadapi masalah. Beliau telah mengambil inisitif untuk ‘whatsApp’ dan memperkenalkan diri beliau kepada saya secara ‘personally’.
Sebelum ini, ada aje pelajar dari negara Bhutan mengambil Kursus Pentadbiran dan Pembangunan Tanah. Alhamdulillah kedua-dua pelajar tersebut mendapat ‘first class’.
Yang paling penting adalah ‘perseverance’ atau ketabahan kita untuk mempelajari Bahasa Melayu…
