
Hari ini satu lagi kelas. Tapi untuk Tahun 4, kelas elektif, ‘Rural & Regional Planning’.
Tadi ia bermula pada jam 11 pagi dan sepatutnya habis pada jam 1 petang.
Alhamdulillah tak ramai dalam kelas ini, hanya 30 orang sahaja. Jadi saya bertaaruf dulu dengan mereka kerana sebelum ini tidak kenal mereka. Tidak pernah mengajar mereka.
Ada sesetengah pelajar jurusan Pentadbiran dan Pembangunan Tanah tidak pernah jumpa saya. Kerana apa? Kerana saya tidak berpeluang mengajar mereka. Saya hanya mengajar matapelajaran elektif pada tahun akhir. Kalau mereka tidak pilih kelas saya maka tidak pernah ketemulah kita.
Seperti kelas hari ini, kita menawarkan 5 matapelajaran elektif dan pelajar adalah seramai 59 orang. Pelajar hanya perlu memilih 3 subjek dari 5 tersebut.
Satu lagi ‘occasion’ pelajar mungkin akan menemui saya walaupun dia tidak pernah mengambil kelas saya ialah semasa ia membuat kajian Projek Sarjana Muda. Mereka samaada menjadi pelajar saya atau saya menjadi salah seorang ahli panel viva mereka.
Selepas taaruf tadi, saya memaklumkan kepada mereka bahawa pada tahun lepas di kelas yang sama, senior setahun mereka membuat penilaian pensyarah terhadap saya yang mana saya tidak pernah menerimanya sepanjang perkhidmatan saya selama 26 tahun.

Dalam ulasan penilaian tersebut, seorang pelajar memarahi saya, mengatakan saya ‘crazy’ kerana menyuruh pelajar menghantar tugasan secara ‘hardcopy’. Beliau meminta pihak fakulti mengambil tindakan terhadap saya.
‘Fair enough’ sebelum saya meminta pelajar menghantar secara ‘hardcopy’ ini, saya telah menerangkan kepada kelas bahawa saya mempunyai banyak tugasan, Projek Sarjana Muda (PSM), Projek Sarjana (PS) dan tesis yang perlu dibaca semuanya secara ‘online’.
Satu PSM mungkin 100 muka surat dan kalau menyelia 5 orang sudah 500 muka. Ini belum lagi PSM yang kita menjadi panel. Kalau kita menjadi panel 5 orang mungkin 500 muka surat lagi.
Begitu juga PS. Satu PS mungkin 200 muka surat dan kalau kita menyelia 4 orang pelajar maka 800 muka surat yang perlu dibaca secara ‘online’. Ini belum lagi termasuk yang kita menjadi pembaca kedua kepada PS dan tesis ‘master by research’.
Itupun dari beberapa tugasan kelas tersebut hanya separuh saja yang saya minta dihantar secara ‘hardcopy’ dan yang lain-lain saya terima aje secara online.
Saya memaklumkan kepada pelajar bahawa saya sudah tua dan tidak mampu untuk membaca sebaris sebaris ayat-ayat tugasan kamu ‘on screen’.
Tetapi itulah hakikatnya apa yang saya dapat.
Pertama, dia tidak pernah mengenali saya secara fizikal. Kedua mungkin apa yang dia tulis itu, dia merasakan hanya pihak pentadbir yang tahu dan pensyarah tidak akan tahu. Ketiga, mungkin dia mempunyai kekangan kewangan untuk ‘print’ dan pos. Kalau inilah masalahnya, kalau diberitahu kepada saya secara personal, mungkin saya boleh menghantar duit kepadanya. Kelima, mungkin dia ‘couldn’t care less about others’.
Tetapi jika ada lagi komen seperti itu pada tahun ini, saya tiada masalah. Bukan kerana apa tetapi kerana perkara yang saya tidak pernah menjumpainya sebelum ini telah saya jumpai pada tahun lepas…
Terima kasih!
