
Aku menulis ini hanya untuk meluahkan perasaan sendiri tanpa ingin menyalahi sesiapa. Sekadar meluahkan perasaan… Kalau tidak dia rasa macam tak lepas!
Kadang-kadang niat kita begitu ikhlas, begitu suci tetapi apa yang terjadi di akhirnya mungkin tidak seperti yang kita mula-mula niatkan begitu. Oleh itu, waspadalah.
Niat asalku begitu tulus iaitu ingin bersilaturrahim dengan rakan-rakan serta membelanja kawan-kawan makan. Tetapi akhirnya kita dituduh sebagai pembawa kuman covid-19. Apa perasaan kalian kalau itu yang diperoleh akhirnya?
Cuma apa yang aku tidak dapat fikirkan ialah bagaimana mungkin hanya dia seorang yang dijangkiti virus dariku sedangkan kami makan dalam satu kawasan tertutup serta berhawa dingin seramai 6 orang? Dan kadang-kadang tuan punya kedai juga datang ke bilik ini untuk turut serta berceloteh bersama kami.
Kedua, jika akulah punca jangkitan kepadanya, kenapa isteriku yang saban malam aku tidur bersama negatif?
Ketiga, jika akulah juga puncanya kenapa ibu mertuaku yang aku tumpang di rumahnya dari 26 hingga 29 Oktober juga negatif?
Keempat, juga jika akulah puncanya kenapa adik iparku yang makan bersama-sama kami di Subang semasa kami transit sebelum berlepas balik ke Johor Bahru juga negatif?
Ya Allah sesungguhnya aku telah mempelajari sesuatu dari peristiwa ini. Yang paling penting ialah tidak perlu aku ulangi membelanja kawan-kawan makan. Maksudnya tak perlu dirancang dari awal tetapi jika terserempak maka belanjakanlah mereka. Yang paling dirisaukan ialah duit habis, pahala tak dapat dan hubungan ukhuwwah semakin renggang.
Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku! Allahumma Solli’ala Muhammad Wa’ala ali Muhammad ﷺ