
2 rakaat solat sunat sebelum Subuh adalah lebih baik dari dunia dan seisinya.
Kita biasa dengarkan? Kita dengar masa kita muda lagi. Tetapi biasalah ya, mana kita nak buat? Solat Subuhpun rasa macam terpaksa aje.
Cuba perhatikan ayat itu, ‘lebih baik dari dunia dan seisinya’. Wow!
Saya tidak melaksanakannya secara konsisten sehinggalah apabila pada suatu hari saya turun bas di Larkin pada waktu Subuh. Rasanya mungkin balik dari mengajar pelajar master pesisir di Ipoh.
Saya bergegas naik ke Surau di Larkin Sentral. Saya tengok ada seorang lelaki yang agak berumur juga ingin mengerjakan solat Subuh. Apabila saya ingin iqamah, beliau dengan lembut menyatakan kita solat sunat Subuh dulu.
Sejak dari itu saya mula tidak tinggalkan lagi solat sunat 2 rakaat sebelum Subuh. Alhamdulillah.
Kenapa kita tidak praktik terus seawal mungkin hadis Nabi tersebut? Jawapannya mudah aje. Sebabnya kita tidak nampak hasilnya dari hadis ini.
Sekiranya selepas solat sunat Subuh, kita nampak satu bukit emas terpampang depan mata. Esok solat lagi, terkeluar lagi satu bukit emas. Lusa solat lagi, terkeluar lagi sebukit emas. Saya pasti kita tidak akan berhenti dari menunaikannya.
Yang menjadi masalahnya ialah sebab kita tidak nampak ganjaran yang disebutkan itu.
Ayuh, jom kawan-kawan, kita sama-sama melakukannya.