
Hari ini aku ditanya jika ingin menjadi Setiausaha kepada Lembaga Pengelola Sekolah (LPS). Dulu aku pernah menjadi Setiausaha juga tetapi namanya pada masa itu ialah Lembaga Pengelola Hidayah (LPH).
Masa berlalu, nama bertukar. Agak lama aku memegang jawatan itu, dari 1996 hingga ke 2007. Aku menggantikan Hj Shaharudin Mohd Said kerana beliau ke New Zealand untuk menyambung pelajaran.
Aku mengatakan kepada yang bertanya bahawa ini adalah ‘recycle’.
Ingatkan penugasan aku di Hidayah sudah berakhir pada tahun lepas selepas aku mengundurkan diri dari menjadi YDP PIBG Sekolah Menengah Islam Hidayah.
Rupa-rupanya Allah ingin memberi ruang untuk aku berkhidmat lagi. Berkhidmat untuk saham akhirat!
Akupun kurang pasti di usia 58 tahun ini masih boleh melakukan kerja-kerja Setiausaha. Masa dulu, badan masih segar bugar.
Masih ku ingat, dulu mesyuaratnya pukul 9 malam dan habisnya kadang-kadang pukul 1 pagi. Maka pandulah kereta selepas balik mesyuarat dari Sekolah Islam Hidayah ke Kolej Siswa Desa Skudai kemudian ke Kolej 12, kemudian ke Kolej 16 & 17. Akhir sekali, aku menginap di rumah sendiri di Taman Pulai Utama.
Pengerusi Lembaga Pengelola Hidayah yang pernah aku berkhidmat dengannya ramai juga. Antaranya Prof Madya Dr Badri, Prof Dr Awaludin, Hj. Samsudin Abdullah, Prof Dr Omar Yaakob, Prof Dr Azlan Zanzali dan lain-lain.
Apa-apapun akan aku cuba melaksanakan yang terbaik, insyaAllah. Ya Allah, berikan daku kekuatan!