Alangkah baiknya sekiranya hasil kajian kami tentang co-housing dapat direalisasikan. Tajuk kajian ialah ‘MAQASID AL-SHARI’AH OF SUSTAINABLE COHOUSING FRAMEWORK FOR MALAYSIAN ACTIVE AGEING COMMUNITY.’
Tujuan utama ialah supaya orang tua secara ‘willingly’ keluar ke rumah orang tua ini, baik bersama pasangannya atau secara persendirian jika pasangannya telah terdahulu meninggal dunia. Mereka keluar ke rumah wakaf yang mempunyai prasarana mencukupi seperti rumah kediaman satu atau 2 bilik (maksima).
Dalam kawasan yang cantik, menarik dan dihiasi dengan landskap menenangkan jiwa. Terdapat masjid, sekolah tahfiz, ‘laundrette’, kedai runcit, restoren, klinik, dewan, laluan ‘walkways’ bagi tujuan beriadah dan sebagainya. Juga mempunyai kemudahan ‘buggy’ bagi mereka yang susah untuk berjalan.
Tujuan yang kedua ialah supaya anak-anak berkurangan dosa kerana rasa terbeban menjaga kedua orang tua secara bergilir-gilir. Sejahat-jahat ibubapa tidak mahu dia melihat anak-anak ke neraka, apatah lagi jika ia berkaitan dengan kesalahan tidak menjagai orang tuanya sendiri.
Ia bukanlah berkonsepkan pondok yang mana kehidupan mereka saban waktu hanya mentelaah kitab tetapi ia mempunyai rutin kehidupan harian yang biasa. Ada waktu untuk senaman pagi, ada waktu untuk menanam bunga, ada waktu berekreasi, ada waktu untuk pembelajaran agama, setiap waktu solat berjamaah dan sebagainya.
Kalau ada tanah wakaf mungkin seluas 10 ekar, kita boleh laksanakan projek ini. Pembelian rumah dalam kawasan ini juga dibuat untuk mewakafkan dan bukan akan menjadi hak milik individu. Sebab itu, ia tidak mahal untuk dijual, sekadar RM50,000 hingga RM60,000. Pembeli boleh tinggal di situ sehingga akhir hayatnya.
Pejabat Tanah dan Pihak Berkuasa Tempatan perlu melihat semula jika ada implikasi peraturan atau undang-undang bila melibatkan pembangunan ‘co-housing’ ini. Peraturan-peraturan dan undang-undang perlu dibuat penambahbaikan supaya projek sebegini tidak menyalahi mana-mana perundangan.
Kempen-kempen kesedaran berwakaf wajar dipergiatkan lagi supaya bukan setakat mereka yang ingin menduduki kawasan ini sahaja yang berwakaf tetapi ia menggalakkan orang luar sana turut sama berwakaf.
Kita bukan ingin membina rumah yang harganya mahal tetapi insyaAllah ia mempunyai kemudahan asas untuk orang-orang tua.