Kita sebagai pemilih dalam sesebuah kawasan pilihanraya wajar mempunyai pertimbangan masing-masing supaya kita tidak lari dari neraca pilihan yang sebenar.
Yang pertama, kita mesti berani untuk berubah! Berubah dari keburukan dan kemelesetan kepada kebaikan dan kecemerlangan. Kadang-kadang nostalgia kita telah menghalang dari berubah. Kita masih terasa jasa-jasanya yang dahulu tetapi sekarang ia tidak lagi seperti itu. Kita perlu bangun dan bangkit dari tidur sekiranya kita ingin melihat anak cucu kita berjaya nanti.
Masa kita untuk berjaya sudah tidak mungkin akan berlaku. Masa anak-anak kita mungkin boleh berlaku tetapi sekiranya kita berani berubah dari sekarang.
Banyak harta negara dimiliki mereka iaitu pembesar negara. Butakah kita? Pekakkah kita? Semua orang bercakap pasalnya. Hatta Indonesia, sebuah negara yang kita pandang remeh suatu ketika dahulupun sudah jauh mendahului kita. Lihat Presidennya! Jauh dari rasuah, jauh dari mericik harta untuk keluarga dan sebagainya.
Kedua, kita perlu pandai untuk menerima segala janji manis mereka sepanjang kempen pilihanraya kerana kita percaya dan sedar bahawa sebelum inipun itulah janji mereka. Tetapi sebenarnya hasil tidak seberapa kerana matlamat utama bukan untuk rakyat tetapi semuanya untuk tembolok mereka. Usah kita terpedaya lagi, cukuplah buat mereka. Mereka sudah punyai semuanya!
Kita perlu menyokong mereka yang betul-betul ikhlas berjuang untuk rakyat marhaen. Mereka yang betul-betul ikhlas untuk merobah nasib rakyat.
Ketiga, kita perlu ada jati diri. Boleh membezakan yang benar dengan yang salah. Begitu juga diantara yang hitam dan yang putih. Tidak mungkin yang hitam boleh dinobatkan sebagai yang putih asli! Kita perlu tahu antara yang wajar berbangga dan yang wajib malu. Perompak harta negara wajib malu tetapi kita pula yang membelanya supaya tidak merasai malu. Slogan “Malu apa bosku!“ tidak wajar digunakan kerana ia tidak mencerminkan suasana situasi sebenar.
Sepatutnya, malu apa jika kita tidak bersalah tetapi kita sewajar-wajarnya merasa malu jika kita bersalah, apatah lagi jika ia telah diputuskan oleh mahkamah. Kata-kata pujangga kita, “Berani kerana benar, takut kerana salah!” wajar ditegakkan.
Kita seharusnya bijak meletakkan pujian dan sokongan ditempat yang sebenar. Jangan kita menjadi kelompok manusia yang pertama memuji mereka yang bersalah dan mencemuh mereka yang benar! Pun begitu, kita selalu sedar bahawa kita juga menerima hakikat bahawa seseorang itu masih tidak bersalah sebelum ia dibuktikan bersalah! Itu memang pegangan kita.
Keempat, kita harus berani berubah. Tengok rekod mereka sebelum ini. Mereka mengutamakan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat dari mencari keuntungan buat mereka walaupun sempat memerintah buat seketika.
Kelima, marilah kita memilih calon-calon yang berintegriti dari ‘coalition’ yang pernah mentadbir kita dulu. Kita tidak ingin lagi hasil mahsul negara diratah mereka yang tidak bertanggungjawab dengan semahu-mahunya. Cukuplah… Hutang negara kitapun sudah terlampau banyak. Marilah kita buat perubahan yang akan memaju dan memakmurkan negara yang kita sayangi.
