Pilihanraya Negeri Johor

Sekarang di Johor, orang sibuk duduk berkempen pilihanraya. Hanya tinggal 5 hari lagi sebelum kita membuang undi. Kalau kita tidak peka dengan apa yang berlaku maka adalah tersangat naiflah diri kita.

Kita sewajarnya melibatkan diri, sekurang-kurangnya untuk membuang undi. Kita tidak rela mempunyai kerajaan yang tidak memikirkan tentang rakyat. Kita juga tidak ingin melihat pemimpin yang berusaha sedaya upaya untuk memperkayakan diri dan keluarga mereka semata-mata tanpa memikirkan kepayahan masyarakat awam untuk hidup selesa.

Fikirlah dengan teliti dan dengan penuh keinsafan tentang apa yang berlaku dalam kehidupan seharian kita. Bagaimana harga barangan makanan yang semakin meningkat? Bagaimana nilai integriti negara kita? Bagaimana nasib anak cucu kita nanti?

Kita semestinya dijanjikan dengan pelbagai janji manis oleh pelbagai parti yang cuba untuk menarik perhatian kita. Tetapi gunalah neraca minda kita yang luhur tanpa emosi dan prejudis yang mungkin akan merosakkan negeri dan negara kita nanti.

Kita juga perlu membuka minda dan melihat suasana negara kita yang suatu masa dahulu bersaing rapat dengan Korea Selatan, Singapura dan beberapa negara membangun yang lain. Tetapi sekarang dimana kita? Indonesiapun sudah mendahului kita sekarang.

Dimana silap kita?

Jika kita ingin berbincang dan memberi pandangan tentang parti yang kita pilih, berbincanglah secara sihat. Jauhilah dari pendebatan yang mengeruhkan suasana, berbalah sesama kita dan seterusnya kita bermasam muka.

Ini tidak diajar kepada kita oleh agama Islam yang kita anuti.

Pada pandangan saya, kita sewajarnya memilih sesebuah parti yang bersih. Bersih dari rasuah, korupsi dan segala jenis amalan-amalan negatif kerana kita ingin mempunyai negara yang lebih berintegriti, aman sejahtera sesama kaum serta diredhai oleh Allah SWT.

Kita memilih calon/parti bukan hanya untuk kebahagian kita semata-mata tetapi untuk masa depan anak cucu cicit kita nanti. Sudah pasti calon-calon berwibawa yang amanah, yang boleh berlaku adil merentasi kaum dan agama, serta tidak mengira samaada tua atau muda menjadi pilihan kita.

Jom. Marilah beramai-ramai kita keluar mengundi! 12hb Mac bakal menentukan pemerintah negeri Johor yang kita sayangi.