Ramadhan semakin hampir. Doa yang memohon kesampaian kita ke bulan Ramadhan seharusnya diteruskan… Wa balliqna Ramadhan!!!. Ya Rabb!.
Kita ingin ke bulan Ramadhan bukanlah kerana kita hendak beraya sangat kerana sesetengah orang kata tak berpuasa maka tak boleh beraya!
Bagi kita, kita ingin sampai ke bulan Ramadhan ialah kerana terlampau banyak jualan murah untuk kita rebut. Teramat rugi sekiranya kita biarkan ia berlalu pergi…
Pesanan Ustaz Abdul Rahim Sahlan semasa kuliah Subuh pagi tadi adalah pertama, jangan kita tinggal sama sekali berpuasa Ramadhan.
Benar, ada ruksahnya seperti sekiranya kita bermusafir kita dibolehkan untuk berbuka tetapi jika kita masih mampu berpuasa maka teruskanlah. Sehari puasa Ramadhan ditinggalkan dengan sengaja maka ia tidak sama walaupun digantikan di bulan-bulan yang lain.
Keduanya ialah solat taraweh wajar diikuti imamnya sehingga tamat. Imam solat sehingga selesai dengan witir maka kita akan mendapat pahala seperti qiamul-lail sepanjang malam.
Esok pergi lagi solat subuh berjamaah di masjid atau surau maka dapat pahala qiamul-lail sekali lagi.
Pahala amalan sunat di bulan Ramadhan diganjari dengan pahala amalan wajib manakala pahala amalan wajib diganda dengan 70 kali lipat.
InsyaAllah kita cuba yang terbaik pada tahun ini; solat sunatnya, puasanya, sedekahnya, tilawah dan tadarusnya, bacaan buku seerah Nabinya dan sebagainya.
Ya Allah, sampaikan daku ke bulan Ramadhan! Aamiin, Aamiin, Aamiin, ya Rabbal ‘Alamiin.