
Alhamdulillah banyak juga yang terlaksana semalam pada 5 April 2022. Kalau apa yang dituliskan ini merupakan sesuatu yang baik, ambillah ia untuk diikuti dan jauhilah ya Allah akan daku dari segala sifat ujub serta bangga diri dari usaha-usaha yang kerdil ini. Na’uzubillahi minzalik!
Seawal pukul 8.30 pagi, aku, isteri, Bu (ibu mertuaku) dan Kak Long ke Kg. Laut untuk menempah serunding yang di‘order’ oleh jiran-jiran Perjiranan 11, BDO. Kg. Laut adalah tidak asing bagiku kerana aku bersekolah di sini bermula dari tahun 1971 hingga 1976, Sek. Ren. Jen. Keb (Inggeris). Kg. Laut.
Penduduk Kg. Laut terdiri dari mereka yang rajin berusaha. Dulu mereka terkenal dengan perusahan keropok, dodol, ‘gelembung buaya’, kain batik, ‘etak’ dan sekarang serunding pula menempa nama di persada negara. Serunding atau ‘Sambal Daging’ (panggilan orang Kelantan) amat popular di musim bulan puasa. Ia boleh menjadi lauk tambahan kepada mereka yang kurang berselera untuk bersahur.
Sebenarnya saya telah menelefon pengusaha serunding semalam tetapi telefonnya tidak berfungsi. Itu yang menyebabkan kami terpaksa datang sendiri dari Pengkalan Chepa.
Selesai membuat tempahan di Kg. Laut, aku bergegas ke Kg. Huda, Kubang Kerian untuk menziarahi Ustaz Muhammad Mustafa yang kematian isteri pada 15 Februari yang lalu. Ust Mad pernah menjadi YDP ABIM Kelantan, menjadi ADUN, ahli Dewan Rakyat (MP) dan juga ahli Dewan Negara selepas bersara dari UM dulu. Beliau berkhidmat di Nilam Puri, Universiti Malaya selama 16 tahun juga.
Seterusnya aku ke Maahad Tahfiz Bahrain di Chabang Tiga, Pengkalan Chepa untuk memberi sedikit sumbangan kepada Hj. Wan Azman, pengusaha maahad. Wan Azman ini merupakan rakan sekolahku di Sekolah Menengah Teknik Terengganu dulu (1980-1981).
Kemudian kami bergegas pulang ke rumah kerana aku ada kelas pada pukul 11 pagi. Walaupun aku bercuti tetapi kelas-kelas aku berjalan seperti biasa. Lagipun ia dibuat secara ‘on-line’. Pada pukul 4 petang, aku, isteri dan Kak Long keluar lagi ke Chabang Tiga, Pengkalan Chepa. Aku membeli nasi kerabu daging bakar untukku, nasi kerabu paru goreng untuk Kak Long dan nasi kerabu kosong untuk ummi dan Bu. Ummi dan Bu berkongsi nasi kerana mereka tidak makan banyak! Nasi mereka dimakan dengan ayam bakar yang dibeli semalam yang belum habis.
Isteri dan Kak Long pergi mencari kuih muih di sekitar Taman Bendahara, Chabang Tiga. Seterusnya kami bergegas pulang kerana aku ada kelas Master pula pada pukul 5 petang…
Kami menunaikan solat Taraweh di Masjid Taman Seri, Pengkalan Chepa.