
Hari ini, 7 April di Pengkalan Chepa, Kelantan. Kira hari yang ketiga sejak bertolak pada 4 April dari Johor Bahru.
Pada pukul 8 pagi aku mengikuti Tadarus Al-Quran bersama Assoc. Prof. Ts Gs Dr. Mohd Nadzri bin Md Reba, Ustaz Ibrahim Khalil Abdullah dan Mohd Hezul Hezri bin Hassan untuk hari yang kedua. Kami dari AKRAB (Badan Kebajikan Staf FABU) ditugaskan untuk menghabiskan juzuk ketiga dan keempat.
Pukul 9 pagi, aku mengajar kelas master, MBET2554 Planning and Development. Pelajar-pelajar adalah terdiri dari Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) seramai 14 orang. Kelas ini sepatutnya berlangsung sehingga jam 5 petang. Esok merupakan sehari lagi kelas master ini yang juga bermula dari jam 9 pagi hingga 5 petang.
Seperti yang aku maklumkan sebelum ini bahawa aku tidak suka untuk menangguhkan kelas-kelas yang sudah ditetapkan. Lagipun kalau kita tangguhkan, ia mungkin akan menyusahkan jadual pelajar juga.
Pukul 5.30 petang, aku sudah berada di Kg. Laut bagi urusan pembelian serunding. Jumlah harga yang dibayar untuk serunding adalah melebihi RM1,800. Serunding yang dibeli, ada yang dipesan oleh rakan-rakan Bandar Dato Onn dan ada yang ingin aku berikan kepada staf fakulti sebagai Infaq Ramadhan.
Kita semua tahu bahawa pahala orang yang memberi sesuatu makanan untuk orang berbuka puasa maka ia juga akan mendapat pahala sepertimana orang itu yang berpuasa.
Selesai di Kg. Laut, aku bergerak ke Palekbang untuk memenuhi jemputan iftar Kak Zah, kakak sulongku. Kak Zah merupakan adik beradikku yang paling tua sekarang setelah kematian abang sulong (Wan Ibrahim) dan abang kedua (Wan Mohd Ghazali).
Selesai iftar dan solat maghrib di rumah Kak Zah, aku bergerak ke Balaisah Hj Nik Man untuk menunaikan solat Isya dan solat taraweh. Di Palekbang, balaisah yang tersohor adalah balaisah Hj Nik Man dan balaisah Hj Che Hussin. Balaisah yang kedua ini merupakan balaisah datukku.
Semasa aku kecil dahulu, disamping tempat menunaikan solat berjamaah, ia juga merupakan tempat anak-anak belajar mengaji al-Quran dari nenekku, Mak Teh. Mak Teh merupakan nama timangan untuk Hajjah Che Esah bt Awang Latif.
Semasa aku ingin ke balaisah Hj Nik Man tadi, pertimbangan telah dibuat samaada aku ingin menunaikan solat taraweh di surau Hj Nik Man yang dekat dengan rumah Kak Zah atau ke surau datukku yang mana ramai sepupu sepapat aku bersolat.
Akhirnya, aku memilih untuk ke Surau Hj Nik Man sahaja!