Selesai menunaikan solat taraweh, kami bergerak untuk pulang ke Johor Bahru. Cuma aku terasa tersangat ralat jika aku pulang tanpa menjumpai Kak Cik, kakakku yang kedua.
Oleh itu, dari Pengkalan Chepa, kami bergerak ke Palekbang untuk ‘bertemu mata’ dengan Wan Zaharah dan anak serta cucu-cucunya. Dari rumahnya, kami terus ke Dungun kerana Kak Long telah ‘inform’ Rasyid yang kami akan singgah di tempatnya, di UiTM Dungun. Rasyid sedang menjalani latihan praktikal kursus ‘culinary’ yang diambilnya.

Kami tiba agak lewat di Dungun, rasanya hampir jam 4 pagi. Kami bersahur dengan nasi goreng kampung di kafetaria UiTM Dungun. 2 pinggan nasi goreng di‘share’ 4 orang. Selera bersahur di rumah Bu dan di perjalanan agak berbeza.
Cuma satu kredit yang cukup baik yang aku ingin berterima kasih kepada pihak Kafe ialah kerana dia kata dia belanja minuman untuk kami. Isteri dan anak-anak apabila mendengar minuman free, mereka hanya mengambil air suam kecuali aku memesan teh ais. Alhamdulillah, semoga pihak Kafe mendapat pahala yang berpanjangan diatas pemberian minuman percuma tersebut.
Selesai bersahur, kami keluar ke ‘highway’ dan mengerjakan solat subuh di R & R.
Kak Long memaklumkan bahawa dia ingin singgah di Hospital Rompin, hospital lamanya…
Rupa-rupanya dia telah memesan kuih raya dari staf hospital tersebut. Setelah mengerjakan solat sunat Dhuha di Surau Hospital Rompin, kami bergerak pulang ke JB. Kami sampai di JB lebih kurang pukul 2pm.
Alhamdulillah, aku rasa objektif terbesar isteriku untuk menemani ibunya untuk berbuka dan bersahur telah tercapai walaupun hanya untuk beberapa hari…