Pintu bilikku diketuk…
Aku yang sudah siap menggalas beg untuk pulang membuka pintu. “Oh, Encik dah nak balik, tak mengapalah”, katanya. “Kenapa?”, tanyaku pula.
“Ingatkan hendak minta Encik isi borang ‘questionnaire'”, balasnya. Aku teragak-agak samaada nak bantu atau tak nak bantu pelajar ini. “Ok, kita pergi isi dekat meja di bawah”, jawabku kerana ada sedikit perasaan simpati padanya.
Sambil mengisi borang, aku bertanya khabar padanya. Akupun tak sempat bertanya siapa namanya?
Tetapi dari loghat percakapannya, aku bertanya awak ni dari Besut atau Kelantan? Dia menjawab yang dia berasal dari Besut.
Sekarang menjadi ‘Research Officer’ (RO) bagi geran bekas pensyarahnya. Itupun sehingga bajet geran habis.
Dr perempuan ini graduan dari jurusan Bio dan membuat PhD dalam bidang ‘engineering’ dan sekarang menjadi RO. Aku menanyakan kenapa tidak ‘apply’ RO tetap UTM sekiranya awak begitu berminat dengan penyelidikan?
Susah juga untuk mendapat kerja dengan PhD ya?
Pada hemat saya, tiada apa yang senang. Ada ‘degree’, ada ‘master’ dan ada PhD tidak menjamin kita senang mendapat kerja. Teringat saya pada tahun 1986 apabila saya balik dari USA dengan ‘degree’ biasiswa JPA. JPA kata tiada kerja! Saya kembali semula ke USA untuk membuat ‘master’. Pada tahun 1988, saya balik dengan ‘master’ dan JPA kata masih tiada kerja dan saya lepaskan awak dari ikatan perjanjian.
Cuma saya kesian Dr tadi kerana mungkin dia merupakan harapan ayah bondanya untuk memberi sumbangan kepada mereka. Sebaliknya pula saya berbangga dengan dia kerana sanggup mengetuk pintu setiap bilik pensyarah demi mencari sesuap nasi.
Begitulah hidup ini, tidak semua mendapat laluan mudah. Yang penting ialah kita tetap berusaha. Mungkin ada yang mencari jalan mudah dengan duduk aje di rumah dan semuanya ada. Makan, tempat tinggal yang selesa sudah ada dan kita mengisi masa dengan bermain ‘game’ aje. Buat apa susah-susah…
Cerita aku membeli dan menjual botol (Beli 5 botol 10 sen dan Jual 5 sen sebotol), kemudian menjadi ‘site supervisor’ di KADA (Bergaji RM500), kemudian guru di Sekolah Vokesional (RM1110), kemudian RO di Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-Ubatan USM (RM1230) menjadi kenangan buat diriku.
Semuanya rezeki dari Allah! Ada yang mudah dapat, ada yang susah dapat… Yang penting berusaha dan bertawakkal.
Ya Allah, Engkau permudahkan perempuan tadi supaya mendapat pekerjaan yang disukainya. Aamiin aamiin aamiin ya Rabbal ‘Alamiin.