Kita sememangnya begitu… Begitu bersungguh-sungguh pada mulanya dan kemudian mula ‘fade away’ sikit-sikit dan terus nyala-nyala padam.
Begitulah saban tahun… Tahun berganti tahun, Ramadhan silih berganti dan umur semakin meningkat tetapi masih belum nampak perubahannya. Surau dan masjid hanya penuh di awal Ramadhan dan kemudian terus menyusut.
Sepatutnya kita ‘ok’ (bukan okey tapi ‘ok’ bahasa Kelantan, maksudnya tahan). Kito ‘ok’ sikit lagi jah. Atau kito ‘teben’ sikit lagi… ‘Keno teben jange tak teben!’ Dia mari pulok tahun depanpun belum tentu kita masih ada! Esok malam bermulalah malam 10 yang terakhir.
Kalau ikut hati memang malas hendak solat berpuluh-puluh rakaat tetapi jangan ikut hati. Ikut naluri keimanan dan fitrah kemanusiaan yang taat kepada Penciptanya.
Selalu peringatkan dan diperingatkan kepada keluarga dan oleh keluarga supaya kita sentiasa istiqamah di bulan yang penuh barakah ini. Cubalah kita burui malam Qadr!
Apa maksud pergi memburu? Maksudnya kita kena bersedia dari aspek jasmani, emosi, rohani serta intelek supaya pemburuan kita berhasil. Saya menyeru kepada tuan-tuan dan puan-puan serta saya sendiri supaya kita cuba dengan bersungguh-sungguh pada tahun ini. Marilah kita mengikat perut, menyinsing lengan dan berazam sepenuh tenaga supaya kita tidak leka lagi seperti pada tahun-tahun sebelum ini.
Sebelum ini kita tidak pergi memburu tetapi hanya sekadar mencari-cari, jika terjumpa alhamdulillah. Tetapi tahun ini kita pergi memburu! Tiada siapa yang pergi memburu ingin pulang dengan tangan kosong! Kita cuba yang terbaik insyaAllah!
Jom kita! Ya Allah, pertemukanlah kami dengan malam QadrMu ya Rabb!