Hanya hendak bercerita untuk dibuat pedoman kepada kita semua…
Mungkin lebih kurang 33 tahun yang lalu. Aku agak rapat dengan kawan-kawan arwah bapa mertuaku. Mereka selalu datang ke rumah mertuaku untuk bermain ‘scrabble’, terup 400 dan sebagainya. Kami bermain bersama-sama dan yang selalu menang ialah ‘of course’ bapa mertuaku.
Ada seorang pakcik ini selalu menceritakan perihal anaknya yang sedang belajar di USA. Baik semasa bermain ‘scrabble’ atau masa senggang, dia menceritakan kepadaku kerana dia bangga dengan kejayaan anaknya. Dan diapun tahu bahawa aku juga graduan dari USA.
Setelah anaknya pulang dan berjaya menjawat jawatan tinggi, banyak juga si anak tunggal ini memberi habuan-habuan kepada bapanya.
Tetapi apa yang menyedihkan saya ialah anak yang selalu dipuja dan dipuji di depan saya sejak dahulu kala telah menempatkan bapanya di rumah orang-orang tua di sebuah negeri yang agak asing baginya.
Kalaulah anak ini boleh mendengar sendiri puji-pujian yang telah bapanya berikan sejak dulu, aku hampir pasti dia tidak akan sanggup membiarkan ayahnya begitu…
Ada pula suatu cerita yang mana seorang bapa tinggal bersama anak menantunya. Anak sudah pasti tidak mahu dikatakan sebagai anak yang derhaka. Pada setiap pagi, si ayah akan tinggal berkeseorangan di rumah kerana anak menantunya pergi bekerja. Cucu-cucu pula ke sekolah.

Suatu hari, si ayah meminta anaknya untuk menghantar ke rumah orang tua kerana tidak dapat menanggung lagi kesunyian yang dialami. Apa taknya, siang hari tiada siapa untuk si ayah bercakap manakala pada malamnya, anak isterinya sudah penat…
Setelah seminggu berada di Pusat Jagaan Orang Tua, si anak menantu datang menziarahinya. Alangkah terkejutnya mereka kerana didapati bapa mereka semakin ceria dan gembira sekali bersama rakan sebaya mereka.
Si anak mengambil kain-kain kotor ayahnya dibawa pulang untuk dibersihkan. Mereka datang seminggu sekali untuk membawa pakaian bersih dan dibawanya makanan sekali untuk bapanya makan bersama rakan-rakannya. Alhamdulillah!
Negara kita menuju kearah ‘ageing society’… Makin ramai warga tua yang menjadi sebahagian dari masyarakat kita. Dalam tahun 2030, lebih kurang 15% rakyat kita adalah ‘senior citizen’.
Bersediakah kita untuk menggalas tanggungjawab ini?