Semua orang terkejut dengan pengumuman Hari Raya baru-baru ni. Kata Mat Salleh ‘caught in surprise’. Tak disangka-sangka gitu…
Kita biasanya selalu lewat. Agak jarang awal kecuali suatu masa dulu yang mana Johor dan Perak beraya sehari awal dari negeri-negeri lain.
Bila saya borak dengan Kak Long pasal ni…. Dia kata begitu juga dengan kematian, kita ingat kita masih ada masa untuk beramal dan bertaubat tetapi sudah terlambat… Tiba-tiba nyawa kita diambil.
Saya cukup terharu dan ada sedikit penyesalan. Kelmarin saya masih ada 5 juzuk untuk menghabiskan tadarus secara individu. Hari ini saya pulun 3 juzuk dan bakinya untuk dihabiskan esok untuk khatam. Tetapi apakan daya…
Rasanya sudah agak lama saya tidak sempat habis (khatam) al-Quran di bulan puasa. Biasanya sekali atau sekali setengah saya khatam al-Quran di bulan Ramadhan. Tahun ini kekangan kelas yang agak banyak di bulan Ramadhan dan itu puncanya saya tidak sempat menghabiskannya.
Mudah-mudahan Allah menerima amalan kita semua di bulan Ramadhan yang mulia ini. Solat kita, puasa kita, qiam kita, infaq kita, bacaan al-Quran kita dan sebagainya insyaAllah menjadi amal yang ikhlas untuk bekalan di akhirat nanti.
Kita juga berdoa semoga Allah masih memberi peluang kepada kita untuk bertemu dengan Ramadhan di tahun yang datang.
Taqaballahu minna waminkum.
Dikesempatan ini juga, saya ingin memohon ampun dan maaf sekiranya ada salah dan silap saya kepada rakan-rakan semua.
Kepada yang balik beraya di kampung, berhati-hatilah di jalanraya. Manfaatkan masa yang ada untuk bersilaturrahim dengan sanak saudara. Yalah sudah 2 tahun kita tidak dapat beraya bersama sanak saudara.