Mengajar Secara Bersemuka Sudah Boleh…

Terasa sangat teruja hari ini. Kenapa ya?

Kerana dapat mengajar secara bersemuka dengan pelajar-pelajar saya setelah 2 tahun lebih secara ‘online’. Alhamdulillah.

Bukan apa.. kerana mengajar secara ‘online’ kita tidak nampak pelajar. Mungkin dia tidur atau dia berada di tempat lain. Bila kita suruh ‘on’ kamera, mereka mengatakan nanti cepat habis kredit dan sebagainya. Itu yang negatiflah tetapi mungkin juga ada yang mendengar dan melihat kita mengajar dengan penuh minat dan bersemangat. Kalau kita cuba ‘think’ positif pula…

Apapun, hari inilah titik tolak bermulanya pengajaranku secara bersemuka kepada pelajar-pelajar yang seramai 49 orang bagi subjek SBET1093 Town and Country Planning.

Para pelajarpun aku rasa teruja juga kerana mereka baru kali pertama menjejaki kaki ke kampus sejak pendaftaran menjadi pelajar secara ‘online’ pada semester lepas.

Baru mereka nampak betapa luasnya kampus UTM, berapa banyak kolej kediaman yang ada, apa kemudahan-kemudahan yang disediakan, berapa besarnya perpustakaan UTM yang berjumlah 2 buah disamping Pusat Sumber (Mini Library) yang ada di setiap fakulti.

Kehidupan di kampus sungguh menyeronokkan berbanding kehidupan di rumah yang belajar secara maya. Anda tidak akan merasa pengalaman ini tanpa berada di kampus.

Bagaimana kita bergaul sesama rakan? Bagaimana kita terlibat dengan aktiviti ko-kurikulum? Bagaimana kita mengatur masa untuk belajar, membuat ‘laundry’, makan, tidur dan sebagainya.

Semasa di kampus juga, kita membentuk personaliti diri kita sebelum keluar ke alam pekerjaan. Bagaimana kita cuba untuk menjadi manusia yang ‘on-time’, manusia yang jujur serta amanah atau berintegriti, juga manusia yang menghormati orang yang lebih tua serta menyayangi mereka yang lebih muda.

Kita dididik atau di’mold’ mengikut acuan yang terbaik kerana semua tugasan atau ‘assignment’ mempunyai ‘due date’ yang wajib dipatuhi. Kita dibentuk oleh para sarjana universiti supaya akhirnya bila kita keluar, kita tersohor dengan imej atau identiti universiti kita.

Dulu-dulu, para graduan UTM tersohor dengan ilmunya, baik duniawi dan ukhrawi tetapi tidak suka menonjol! Hanya menjadi tonggak di belakang tabir. Graduan UiTM pula terkenal dengan kebolehan bercakap dan menulis dalam Bahasa Inggeris. Dan begitu jugalah dengan graduan dari universiti-universiti yang lain. Semuanya ada identiti tersendiri.

Oleh itu, saya menyarankan agar pelajar-pelajar UTM yang sudah memasuki kampus untuk menimba ilmu dengan sebanyak dan sebaik mungkin supaya dada dipenuhi dengan ilmu, iman dan ihsan supaya menjadi pedoman kamu di hari muka.