Tanggungjawab Ibubapa Secara Trial and Error…

Apabila saja kita kahwin maka bermacam-macam teori kita guna supaya ‘at the end of the day’ kita berjaya mendidik anak-anak kita untuk menjadi insan soleh dan solehah.

Pelbagai pendekatan kita guna, ada yang ‘strict’ dan ada yang ‘moderate’. Yang ‘strict’ itu antaranya ialah tiada TV di rumah, tiada lagu-lagu lain selain nasyid sahaja.

Secara amnya, masing-masing mengambil kesempatan secara ‘try and error’ saja. Majoritinya hanya melihat bagaimana ayah dan ibu mendidik kita dan dengan cara itulah kita pula mendidik anak-anak kita.

Ada buku ‘Tarbiyatul Aulad’ yang ditulis oleh Dr. Abdullah Nasih Ulwan yang mempunyai 2 jilid. Tetapi setakat mana kita mendalami penulisan beliau dan mempraktikkannya hanya Allah SWT yang tahu.

Dewasa ini, kedengaran anak-anak pendakwah yang tergelincir dari landasan tetapi jangan kita ambil mudah dan memberi tanggapan negatif kepada mereka. Mungkin si ayah sudah berusaha sedaya upaya untuk membantu anak-anaknya. Begitu juga dengan si ibu yang telah berperanan sewajarnya.

Mungkin juga kita boleh pelajari dari kisah Nabi Nuh AS dengan anaknya. Dalam keadaan anaknya masih kafir, si ayah menyeru supaya anaknya menaiki kapal bersamanya. Itulah kasih sayang si bapa takut anaknya tenggelam dalam banjir.

Namun anaknya menyatakan dia akan mendaki bukit yang tinggi dan terselamat dari banjir. Akhirnya, anaknya juga tenggelam di dalam lautan air yang dalam dan deras.

Cuma, ada segelintir ibu yang tidak mahu menegur kesilapan anaknya kerana katanya jika dia menegur dan apabila si anak melawan cakapnya maka anak itu sudah dikira anak derhaka! Untuk mengelakkan anak-anak bercakap kasar dan mencetus kontrovesi maka si ibu sekadar senyap diatas apa kesalahan yang dilakukan oleh si anak.

Pada saya konsep tidak mahu menegur kesalahan anak, takut anak menderhaka kepada ibubapanya adalah suatu konsep yang salah dan wajar diperangi. Kalau tidak, masakan ada suruhan yang lebih kurang maksudnya apabila anak-anak berusia dari 7 hingga 10 tahun diajak dan diajar solat, berpuasa dan sebagainya tetapi selepas berumur 10 tahun disuruhnya rotan anak tersebut jika masih belum mahu solat.

Apabila saya memerhati anak-anak yang suka datang ke masjid atau surau, kadang-kadang mereka ini bukanlah dari ibubapa yang suka datang ke masjid/surau tetapi komitmen anak-anak ini sungguh jitu dan mantap.

Anak yang tidak pernah ditarbiah, juga tidak pernah dihantar ke sekolah agama tetapi diatas inisiatif sendiri rajin datang bersolat jamaah di surau. Apabila melihat anak-anak ini, saya sering bertanya kepada si anak, “Ayah nama apa dik?” Diapun cakaplah anak si anu bin si anu. “Ayah pernah datang surau tak?”, tambah saya lagi. Si anak tadi menjawab, “Tak!”.Saya selalu iringkan doa supaya anak-anak ini menjadi insan yang berguna pada suatu hari nanti. Setidak-tidaknya dapat membantu ibubapa mereka mengenal Islam dengan lebih rapat.